SUBANG, 10 Disember 2020 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah melaksanakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Subang (PU Subang) selama dua hari bermula pada 9 hingga 10 Disember 2020.
Turut serta dalam lawatan ini adalah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM; AKS P&P, Mej Jen Dato' Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM; AKS Sumber Manusia, Mej Jen Dato' Noor Muhamad Akmar bin Mohd Dom TUDM dan Inspektor Jeneral, Brig Jen Mohd Kahar bin Mohd Kassim TUDM dan ahli Jemaah Tertinggi BAKAT Udara (JTBU).
Ketibaan Panglima Tentera Udara (PTU) telah disambut oleh Komander Pangkalan, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM, Eksekutif Pangkalan serta isteri masing-masing. Pada hari pertama lawatan kerja, PTU telah diberikan taklimat tentang pengoperasian pangkalan yang disampaikan oleh Komander PU Subang. Seterusnya, beliau dibawa melawat ke No. 16 Skn dan No. 20 Skuadron serta diberikan taklimat pengoperasian skuadron oleh Pegawai Memerintah Skuadron.
PTU dan delegasi seterusnya ke Hangar ADRHIB dan No. 2 Skuadron untuk mengetahui dan meninjau dengan lebih dekat tahap kesiagaan yang dipraktikkan bagi memastikan TUDM sentiasa berada di dalam keadaan siap siaga pada sebilang masa.
PTU dan delegasi meneruskan lawatan kerja ke Pusat Latihan Terbang Taktikal (PLTT), Seksyen Hantaran Udara (SHU) dan No. 22 Skuadron. Beliau turut menguntukkan masa menemui warga skuadron ketika lawatan dan memberikan kata-kata semangat dan penghargaan di atas komitmen yang ditunjukan oleh skuadron. Beliau menzahirkan terima kasih kepada warga skuadron di dalam memastikan skuadron beroperasi dan berfungsi meskipun berdepan dengan cabaran semasa malah berupaya melaksanakan misi tanggungjawab sosial dan kemanusiaan melebihi dari kebiasaan ketika negara berdepan dengan krisis kesihatan global pandemik Covid-19.
PTU dan delegasi turut menyantuni warga Pangkalan Udara Subang. Bagi mendekati dan mengetahui permasalahan anggota LLP berpangkat Koperal Udara setaraf dan ke bawah, satu sesi dialog bersama PTU telah diadakan semasa jamuan makan tengah hari di Dewan Makan Wisma Ahli Udara selain menzahirkan rasa penghargaan pucuk pimpinan TUDM. Beliau turut meluangkan masa bertemu dan memberikan kata-kata semangat sebagai tanda keprihatinan pucuk pimpinan TUDM dan menghargai anggota Lain-lain Pangkat (LLP) berpangkat Sarjan Udara setaraf dan ke atas di Wisma Bintara.
Dalam rangka lawatan kerja dua hari ini, PTU turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada jurutera dan juruteknik Tim Rawatan “Structural Inspection” ST-18 pesawat C130H yang diadakan di Depoh Materiel Udara, PU Subang sebagai pengiktirafan dan penghargaan atas kemahiran warga TUDM khususnya di dalam mempertingkatkan keupayaan senggaraan TUDM.
Lawatan Kerja PTU ke PU Subang adalah antara siri lawatan kerja rasmi beliau khususnya dalam mengekalkan kesiagaan pangkalan, mengetahui dan membantu pangkalan mengatasi cabaran berkaitan pengoperasian pangkalan dan skuadron. PU Subang menjadi antara pangkalan yang menjadi tumpuan dan sibuk terutama ketika negara diancam penularan wabak Covid-19 berikutan pengoperasian melibatkan penghantaran barangan dan peralatan perubatan serta petugas kesihatan ke Sabah dan Sarawak untuk memerangi penyakit berbahaya tersebut. Lawatan kerja ini juga membuktikan fokus dan hala tuju pucuk pimpinan tertinggi TUDM di dalam memastikan pembangunan keupayaan TUDM sentiasa menjadi keutamaan, diperkasakan dan sentiasa berfungsi mencapai visi dan misi TUDM.