KUALA LUMPUR, 22 Feb 22 – Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir ke Majlis Amanat Tahun Baru 2022 oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz yang diadakan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, hari ini.
Dalam ucapan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, beliau berharap agar warga Kementerian dapat meningkatkan kebersamaan serta kesepaduan sebagai satu pasukan yang berupaya menggerakkan fungsi dan peranan Kementerian khususnya dalam menghadapi cabaran tahun 2022 sepertimana tagline yang beliau perkenalkan iaitu “Together we do better”.
Sementara itu, beliau turut berharap agar kesepaduan ini dapat diteruskan dalam tahun 2022 dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara. Beliau turut memetik amanat YBhg Tan Sri KSN yang telah menggariskan prinsip S.W.I.F.T. selaras dengan fasa baharu menuju Endemik yang membawa maksud “speed”, “world class knowledge”, “inspirationa”l, “flexible” dan “technology-based.”
Di akhir ucapan, beliau mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga MINDEF dan ATM atas kerja keras sepanjang tahun 2021. Ketua Setiausaha juga yakin bahawa banyak perkara yang boleh dipelajari dari tahun lalu dan dapat dijadikan sebagai panduan untuk sebarang penambahbaikan sepanjang tahun 2022 ini demi kepentingan organisasi.
Selain itu, Ketua Setiausaha turut menyampaikan Sijil Pencapaian 100% AIMS Tahun 2021 kepada 34 PTJ. Beliau juga turut melancarkan Sistem AIMS 3.0. Sebanyak 15 PTJ telah menerima Anugerah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Terbaik Tahun 2022, antaranya termasuk Markas Tentera Udara Bahagian Sumber Manusia-Latih serta Pangkalan Udara (PU) iaitu PU Kuantan, PU Subang, PU Kuching, PU Sendayan, Kolej Tentera Udara dan Akademi Tentera Udara.
Turut hadir semasa Majlis Amanat Tahun Baru 2022 ialah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany yang mewakili Panglima Angkatan Tentera; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM, pegawai-pegawai tentera dan awam serta anggota tentera dan kakitangan awam di bawah Kementerian Pertahanan.