KUANTAN, 23 Feb 22 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menghadiri majlis anjuran Syarikat Airbus Helicopters bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bertempat di No. 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan. Majlis yang dianjurkan ini bertujuan memberi penghargaan kepada TUDM di atas kejayaan selaku pengendali helikopter tentera H225M (EC 725 AP) yang telah merekodkan jumlah jam penerbangan terkumpul tertinggi di Asia.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Indera Hj Mohammad Salleh bin Haji Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato' Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Dato' Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Wilayah Udara 1 (PANGWILUD 1), Mej Jen Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM termasuk wakil dari pihak Airbus Helicopters dan anak kapal pesawat helikopter EC 725 AP.
Di acara ini, Vincent Dubrule, Ketua Serantau bagi Airbus Helicopters Asia Pasifik telah menyampaikan anugerah kepada Panglima Tentera Udara bagi meraikan dan memperingati pencapaian penuh bersejarah yang mana TUDM bagi fleet helikopter H225M atau juga dikenali sebagai EC 725 AP secara keseluruhan mengumpul jumlah jam penerbangan sebanyak 20,000 jam. Turut hadir adalah Gerard Pau, Pengarah Urusan, Airbus Helicopters Malaysia merangkap Ketua Pegawai Operasi, Airbus Helicopters Asia Pacifik dan Raymond Lim, Wakil Ketua Negara Airbus di Malaysia.
Juruterbang helikopter H225M Tentera Udara Diraja Malaysia yang masing-masing telah mencapai sejumlah 2,000, 1,500, 1,000 dan 500 jam penerbangan dalam helikopter H225M juga telah diberikan anugerah pencapaian jam penerbangan di majlis penuh bersejarah ini. Panglima Tentera Udara telah menyampaikan lencana dan sijil H225M kepada penerima 1,500 dan 2,000 jam penerbangan. Manakala bagi 1,000 jam penerbangan telah disampaikan oleh Timbalan Panglima Tentera Udara dan bagi 500 jam penerbangan disempurnakan oleh Panglima Operasi Udara.
Barisan penerima terdiri daripada Juruterbang TUDM dan anak kapal daripada No 5 Skuadron dan No 10 Skuadron. Turut menerima lencana dan sijil H225M adalah bekas Juruterbang dan anak-anak kapal yang telah bersara dalam perkhidmatan serta yang bertukar keluar.
Helikopter EC 725 AP yang berkhidmat dalam TUDM bermula tahun 2012 yang telah berjaya mengumpul 20,000 jam penerbangan melalui pengiktirafan hari ini telah mengendalikan pelbagai operasi termasuk misi khas seperti menyertai pelbagai misi latihan dan kemanusiaan, termasuk operasi "Search and Rescue" (SAR) operasi penyelamatan semasa banjir dan operasi menyelamatkan nyawa termasuk ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Sekalung tahniah diucapkan khusus kepada juruterbang dan anak kapal, juriteknik serta warga skuadron yang telah melaksanakan tugas-tugas semasa operasi dan ketika aman demi kesejahteraan negara dan mempamerkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan attitude (knowledge, skill and attitude) yang terbaik.
#TenteraUdaraDirajaMalaysia
#SentiasaDiAngkasaRaya
#Profesionalisme