Cyberjaya, 15 Oktober 2022 – Berlokasi di Persiaran Flora, Cyberjaya telah berlangsung acara Larian LTAT 5 km dan 10 km Fun Run bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ke-50. Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM antara tetamu kenamaan yang hadir dan menyertai larian bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM.Timbalan- timbalan Pangima Perkhidmatan dan Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (Bersara). Panglima Angkatan Tentera dan Pengerusi LTAT terlebih dahulu menyempurnakan pelepasan peserta bagi Larian 10 km Fun Run kira-kira jam 7.30 pagi sebelum turut sama berlari bersama-sama para peserta.Larian seterusnya diteruskan dengan pelepasan peserta bagi kategori 5 km Fun Run kira-kira jam 7.40 pagi.
Larian 50 tahun LTAT ini juga disertai oleh Pengerusi Jemaah BAKAT Udara, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan bersama Timbalannya, Datin Indera Hajah Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor serta ahli-ahli BAKAT Udara. Turut serta menyertai acara larian ini ialah Warga Udara yang berkumpul sejak jam 6.30 pagi sebagai tanda sokongan kepada LTAT di samping menjadikan aktiviti sukan dan riadah sebagai budaya hidup sihat dan cergas malah ada di antara mereka yang turut membawa keluarga menyertainya.
Acara kemuncak turut diadakan cabutan bertuah yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera dan Pengerusi LTAT yang berakhir kira-kira jam 10.00 pagi. LTAT menyambut ulang tahun jubli emas pada 1 Ogos 2022. Di dalam tempoh ini juga LTAT buat julung kalinya melancarkan kempen “DAFTAR MYWIRA MENANG KERETA” melalui Kempen Cabutan Bertuah Aplikasi MyWira Sempena Ulang Tahun yang ke-50 bermula dari 26 September sehingga 30 November 2022 sebagai tanda penghargaan kepada para pencarum kerana telah memberi kepercayaan pada pihak LTAT menguruskan caruman mereka. Pencarum yang mendaftar berpeluang untuk memenangi hadiah lumayan seperti PROTON X50, PERODUA MYVI, motosikal, telefon pintar dan banyak lagi. Pemenang akan dipilih setelah memenuhi kesemua terma dan syarat yang ditetapkan dan akan dihubungi oleh LTAT pada akhir bulan Disember 2022.