BUTTERWORTH, 13 Mei 23 – Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM telah hadir ke Sambutan Hari Ulang Tahun Pertama sempena pengoperasian pesawat AW 139 yang diadakan di Hangar No 3 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth. Turut hadir ke sambutan ulang tahun ini ialah Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM; Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brig Jen Khairol Muzambi bin Salehin TUDM; Pegawai Eksekutif Pangkalan Udara Butterworth, Kol Engku Faizal bin Engku Mustaffa TUDM dan Weststar Engineering General Manager, En Ahmad Rashide bin Mustapah.
Sebagai simbolik sambutan Hari Ulang Tahun Pertama AW 139 No 3 Skn ini, wakil daripada Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. telah menyempurnakan penyampaian momento kepada Panglima Operasi Udara dan upacara memotong kek serta tayangan montaj pengoperasian pesawat helikopter AW139 TUDM sejak April 2022 hingga kini.
Sepanjang tempoh pengoperasian pesawat helikopter AW139 melalui sewaan helikopter utiliti menggunapakai konsep Government Operate, Company Own and Maintain (GOCOM) dari pihak Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. selama tempoh kontrak, No 3 Skn telah mempamerkan khidmat yang cemerlang dengan rekod sifar insiden udara dalam melaksanakan tugasan seperti Air Logistic Support and Resupply Flight, Military and Civil Communication Flight, Medical Evacuation (MEDEVAC), Casualty Evacuation (CASEVAC), Body Evacuation (BODEVAC) dan Humanitarian and Disaster Relief (HADR). Kecemerlangan pengoperasian ini membuktikan kerjasama yang baik oleh seluruh warga skuadron dan TUDM serta kru sokongan daripada Weststar Aviation Services Sdn. Bhd.
Pesawat helikopter AW 139 ini merupakan aset mobiliti terbaharu yang digunakan TUDM melalui kaedah sewaan bagi pelaksanaan operasi udara melibatkan fleet helikopter. Helikopter AW 139 ini beroperasi di bawah kendalian No 3 Skuadron yang membawa moto "Di Mana dan Apa Sahaja".