BUTTERWORTH, 17 Mei 2023 - Panglima Tentara Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah turun padang membuat tinjauan koordinasi persiapan dan latihan pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 atau Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2023 (LIMA`23) pada hari ini di Pangkalan Udara Butterworth. Turut serta dalam tinjauan ini adalah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM selaku Pengarah Pertunjukan Udara.
Tinjauan ini adalah bagi memastikan segala persiapan dan perancangan dikoordinasi dengan baik melibatkan latihan penyatuan bagi acara pembukaan dan pertunjukan udara semasa LIMA ’23 pada 23 hingga 27 Mei 2023. Koordinasi bagi persiapan dan latihan telah dilaksanakan bermula 8 Mei 23 dan hari ini adalah hari terakhir latihan dilaksanakan di Pangkalan Udara Butterworth.
Semasa tinjauan ini, Panglima Tentera Udara dan deligasi telah menyaksikan latihan “Opening Gambit” dan pertunjukan udara dan diberikan taklimat semasa berkaitan perancangan yang telah diatur.
Tentera Udara Diraja Malaysia telah dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan Segmen Aeroangkasa khususnya bagi acara pembukaan, pertunjukan udara dan pameran statik pesawat-pesawat. Tanggungjawab ini digalas sepenuhnya bagi memastikan segala aspek diambil kira agar perancangan yang disusun dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dengan kerjasama bersepadu semua pihak yang terlibat. LIMA ’23 akan berlangsung di Pulau Langkawi pada 23 hingga 27 Mei 2023 dan para pengunjung diharap tidak melepaskan peluang menyaksikan secara langsung pertunjukan udara dan pameran dari Malaysia dan luar negara.
#LIMA2023
#PameranAntarabangsaMaritimDanAeroangkasaLangkawi2023
#TenteraUdaraDirajaMalaysia
#RMAF
#SentiasaDiAngkasaRaya
#KuasaUdaraPerisaiKedaulatanNegara