PUTRAJAYA, 8 Jun 22- Bertempat di Dataran Pahlawan Negara, telah berlangsung raptai Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak terkecuali membuat persediaan akhir bagi memastikan perjalanan acara penuh bersejarah ini berjalan dengan baik pada hari sebenar yang akan dilaksanakan pada 10 Jun 2022. Antara persiapan yang diperincikan ialah segmen Terbang Lintas Hormat pesawat helikopter ATM oleh AJK Terbang Lintas, persediaan anggota kontinjen perbarisan oleh barisan AJK Perbarisan dan MTU-Istiadat serta pengulas mewakili perkhidmatan TUDM yang akan turut sama bersama pengacara RTM yang akan menyiarkan istiadat ini secara langsung di saluran RTM,TV 1 pada hari Jumaat, 10 Jun 2023 bermula jam 8.15 pagi. Orang ramai di sekitar kawasan Putrajaya dinasihatkan agar tidak merasa cemas dan panik sekiranya melihat pesawat terbang rendah dan mendengar bunyi tembakan meriam sehingga pada hari sebenar.