KUALA LUMPUR, 23 Sep 2022 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir ke Perbarisan Perasmian Penukaran Designasi Nama dan Logo Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM di Padang Kawad Kem Kementah, hari ini.
Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) telah diwujudkan secara rasmi pada 1 Oktober 1981 menggantikan Joint Intelligence Directorate (JID) dan peranan utama BSPP ketika itu ialah untuk mengumpulkan serta menghasilkan produk perisikan bagi menangani ancaman Parti Komunis Malaya (PKM).
Sidang Majlis Angkatan Tentera (MAT) Ke-600 pada 13 Jun 2022 yang lalu telah meluluskan secara rasmi penukaran designasi nama Bahagian Staf Perisikan Pertahanan kepada Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) sejajar dengan pembesaran dan penstrukturan semula organisasi tersebut. Logo baharu juga telah diwujudkan sebagai satu identiti MDIO. MDIO akan terus unggul menyokong keperluan perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perbarisan yang dianggotai seramai 108 pegawai dan 414 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari BSPP telah diketuai oleh Brigedier Jeneral Saharudin bin Harun dari Markas 92 Anggota Tentera Cawangan Khas. Perbarisan terdiri daripada 4 detasmen ini telah diiringi oleh Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja.
Turut hadir ke perbarisan ini ialah Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, barisan pegawai kanan serta mantan KPPP dan TKPPP.