KUALA LUMPUR, 22 Sep 22 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan bercemar duli ke Majlis Bacaan Yasin,Tahlil Serta Khutbah Khas Solat Jumaat sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-89 yang diadakan di Masjid Khalid Bin Al-Walid, Kementerian Pertahanan hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda telah disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham Bin Abdul Aziz.
Majlis ini turut dihadiri oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM, Pegawai-pegawai Kanan serta pegawai dan anggota LLP ATM yang berkhidmat di kawasan sekitar.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan yasin serta tahlil yang dipimpin oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Brig Jen Mohamad Hamzah Bin Adam dan diteruskan dengan penyampaian Khutbah Khas Solat Jumaat bertajuk ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ yang disampaikan oleh Ketua Pengarah KAGAT, Mej Jen Hj Mohd Rashidi bin Bujai sebelum diakhiri dengan Solat Jumaat yang diimamkan oleh Brig Jen Mohamad Hamzah Bin Adam.
Antara intipati teks khutbah yang disampaikan ialah perlunya setiap rakyat Malaysia memahami bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara bukan hanya terletak dibahu warga ATM sahaja, malah ia merupakan tanggungjawab bersama di samping menghargai keamanan, kesejahteraan dan kedamaian yang bukan mudah diperolehi serta didirikan di atas pengorbanan para pejuang terdahulu yang sanggup berjuang demi negara tercinta.