KUALA LUMPUR, 27 Jun 23 – Detik manis dan kenangan bersejarah bagi seorang pegawai muda TUDM ketika Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM menyempurnakan pemakaian pangkat ke atas seorang Pegawai Kadet Udara dan menjadi kenangan terindah buat PK Arthur Rajja Anak Gregory apabila dipakaikan pangkat Leftenan Muda TUDM (LtM TUDM) hari ini yang diadakan di pejabat Panglima Tentera Udara.
LtM Arthur Rajja Anak Gregory merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik dan beliau dilahirkan di Mukah, Sarawak. Mengimbas permulaan kariernya, beliau mula menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia pada 14 Julai 2017. Beliau telah menamatkan pengajian dalam Bachelor of Arts Major in History and International & Political Studies di Australian Defence Force Academy dan dengan berjaya menamatkan pada 7 Disember 2022.
Majlis pemakaian pangkat ini turut disaksikan oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Brig Jen Nazaruddin bin Haron TUDM serta beberapa Pegawai Kanan TUDM. Seluruh warga TUDM mengucapkan sekalung tahniah kepada LtM Arthur Rajja Anak Gregory yang dinaikkan pangkat hari ini dan kejayaan yang diperolehi khususnya di dalam pengajiannya serta pengalaman dan ilmu yang diperolehi. Kenaikan pangkat hari ini adalah permulaan langkah perjalanannya di dalam perkhidmatan TUDM khususnya dan ATM amnya. Semoga beliau terus kekal cemerlang demi perkhidmatan TUDM serta untuk agama, bangsa dan negara.