LABUAN, 12 Jun 23 – Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) telah mengadakan Mesyuarat Pemerintahan Panglima Wilayah Udara 2 Siri 1/23 pada 12 dan 13 Jun 23 bertempat di Dewan Banquet Pangkalan Udara Labuan. Pembukaan mesyuarat ini telah disempurnakan oleh Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Wan Amin Hafiz bin Wan Mahmud TUDM.
Mesyuarat yang diadakan ini merupakan platform untuk Panglima Wilayah Udara 2 menyampaikan arahan dan hasrat pucuk pimpinan TUDM kepada semua peringkat pemerintah di Wilayah Udara 2. Selain itu, memberi ruang kepada Panglima Wilayah Udara 2 untuk berinteraksi secara terus dan menjana perbincangan positif bersama Komander Pangkalan dan Pegawai-Pegawai Memerintah Skn/Unit di bawah naungan dalam menentukan segala arahan dan dasar yang diputuskan dapat dilaksanakan dengan konsisten dan efektif.
Sebanyak tiga (3) taklimat telah dipersembahkan semasa mesyuarat ini berlangsung dan antaranya adalah kajian terhadap keperluan Rumah Keluarga di Wilayah Udara 2 berbanding Pembayaran Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) oleh PU Labuan, Taklimat Pengukuhan Pengoperasian Sistem Pertahanan Udara TUDM dengan penugasan anggota yang minimum oleh PU Kuching serta Taklimat Keselamatan & Pertahanan Siber ATM oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) dan MTU-KOMLEK.
Di akhir sesi mesyuarat, Panglima Wilayah Udara 2 telah menyampaikan ucapan penggulungan dengan menyeru seluruh warga Wilayah Udara 2 supaya mengambil manfaat daripada persembahan dan taklimat yang telah disampaikan dengan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap cabaran-cabaran yang sedang dan bakal dihadapi sejajar dengan rancangan dan hala tuju CAP55 yang telah ditetapkan. Seterusnya beliau berkehendakkan agar pangkalan/unit dibawah naungan sentiasa peka dengan cabaran semasa dan akan datang bagi memastikan kedaulatan Wilayah Udara 2 terus dijaga dengan sebaiknya.