GONG KEDAK, 10 Apr 23 – Pangkalan Udara Gong Kedak telah melaksanakan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Tarawih bersama Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM di Surau Ar-Raudhah, PU Gong Kedak. Majlis ini turut dihadiri oleh Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM dan Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM.
Ketibaan Panglima Tentera Udara bersama delegasi ke PU Gong Kedak telah disambut oleh Komander Pangkalan, Kol Ahmad Edros bin Ahmad Osman TUDM dan barisan Eksekutif Pangkalan.
Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023 daripada Tabung Kebajikan TUDM oleh Panglima Tentera Udara kepada anggota dan anak yang mengidap sakit kronik serta anggota yang mempunyai anak istimewa. Panglima Tentera Udara telah menyampaikan sumbangan kepada dua (2) anggota sakit kronik, seorang penerima sumbangan bagi pasangan sakit kronik, tiga (3) penerima sumbangan bagi anak yang menghidap sakit kronik dan lima (5) penerima sumbangan bagi anak istimewa.
Selesai berbuka puasa dengan juadah ringan, semua hadirin menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu sebelum menikmati juadah berbuka puasa. Panglima Tentera Udara dan delegasi bersama-sama warga pangkalan seterusnya menunaikan solat fardu Isyak, solat sunat Tarawih dan Witir yang diimamkan oleh Mej Ahmad Nasri bin Abdul Rahman, Pegawai Agama Pangkalan.
Seperti kebiasaannya majlis moreh menjadi penutup acara dan Panglima Tentera Udara dan delegasi meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra bersama warga PU Gong Kedak sebelum beredar pulang.
#WargaUdara
#Kebajikan
#Ramadan1444H