KUCHING, 11 Apr 23 – Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Masro bin Kaliwon TUDM telah meluangkan masa menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Tarawih bersama warga Pangkalan Udara Kuching bertempat di Surau Al-Jahirah, PU Kuching. Majlis ini turut dihadiri oleh Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato' Wan Amin Hafiz bin Wan Mahmud TUDM dan Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Mej Jen Hishammuddin bin Abdul Rahman TUDM.
Ketibaan Panglima Bantuan Udara bersama delegasi di PU Kuching telah disambut oleh Komander Pangkalan, Kol Baharin bin Mohamad TUDM serta barisan Eksekutif Pangkalan.
Majlis kemudiannya telah bermula dengan penyampaian sumbangan kebajikan kepada lima (5) anggota yang menghidap sakit kronik, seorang penerima sumbangan bagi anak yang menghidap sakit kronik dan lima (5) penerima sumbangan bagi anak istimewa oleh Panglima Bantuan Udara. Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada lima belas (15) orang anak yatim dan tiga (3) orang staf dari Pusat Penjagaan Nur Murni yang diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa tersebut.
Sejurus azan Maghrib, kesemuannya yang hadir terlebih dahulu berbuka puasa dengan juadah ringan dan seterusnya menunaikan solat secara berjemaah. Kemudiaanya majlis diteruskan dengan hidangan berbuka. Selesai majlis berbuka, Panglima Bantuan Udara dan delegasi serta warga pangkalan meneruskan acara dengan menunaikan solat fardu Isyak, solat sunat Tarawih dan Witir yang telah diimamkan oleh Kapt Mohamad Hafizzullah bin Mohd Nasir, Pegawai Agama Pangkalan. Majlis kemudiaannya telah diakhiri dengan jamuan moreh warga pangkalan bersama Panglima Bantuan Udara.