SUBANG, 14 Okt 20 – Panglima Bantuan Udara, Mej Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM secara rasminya membuka tirai Mesyuarat Pemerintahan Panglima Bantuan Udara Siri 1/2020 yang berlangsung pada 14 dan 15 Oktober 2020 di Kelab Rekreasi Tentera Udara, Pangkalan Udara Subang hari ini.
Mesyuarat Pemerintahan Panglima Bantuan Udara kali ini merupakan acara persidangan yang pertama kali buat Mej Jen Dato’ Muhamad Norazlan bin Aris TUDM sejak mengambil alih jawatan tersebut pada Januari 2020.
Panglima Bantuan Udara dalam ucapan pembukaan beliau, turut menyatakan kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh TUDM pada masa kini susulan perubahan lanskap politik, cabaran geo strategik dan pandemik COVID-19 yang turut memberi kesan secara langsung kepada TUDM untuk kekal beroperasi dengan optimum dan terus relevan kepada negara.
Beliau berharap agar pelaksanaan mesyuarat pemerintahan ini akan menjadi forum yang terbaik untuk berinteraksi bersama-sama dalam permuafakatan dan persefahaman di setiap peringkat bagi merangka pelan-pelan tindakan, menilai dan meletakkan hala tuju dan keazaman yang baharu, sekaligus menjana idea baru dan menetapkan hala tuju MPBU dalam mendepani cabaran domestik dan globalisasi.
Hadir sama di mesyuarat ini adalah Ketua Staf Khidmat MPBU, Brig Jen Mohamad Shuairi bin Abdullah TUDM; Ketua Staf Sistem MPBU, Brig Jen Samir bin Abas TUDM; Wakil dari MPOU; Wakil Skuadron, dan pegawai-pegawai kanan di bawah naungan MPBU.