MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS PANGLIMA ANGKATAN TENTERA KE-22

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12
13 14 15
16 17 18

 

Secara rasminya Panglima Angkatan Tentera Malaysia Ke-21, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM telah menyerahkan tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman yang merupakan Panglima Tentera Darat Malaysia Ke-29 setelah empat (4) dekad menabur bakti kepada Negara. Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera ini telah disaksikan oleh Yang Berhormat Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Hasan, Menteri Pertahanan Malaysia.

Majlis yang bersejarah ini turut disaksikan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM serta warga TUDM bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan turut menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Jeneral kepada Timbalan Panglima Tentera Darat Ke-26 iaitu Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan sebelum beliau menyaksikan Serah Terima Tugas antara Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman kepada Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan sebagai Panglima Tentera Darat Ke-30.

Sepanjang perkhidmatan, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah menghadiri pelbagai kursus di dalam dan juga di luar negara antaranya Kursus Staf dan Taktik Gred 2 di Waiouru, New Zealand; Army Command and Staf College di Queenscliffe, Australia; Law of Armed Conflict di Sydney, Australia dan Defence and Strategic Studies Course di Canberra, Australia. Beliau juga merupakan graduan daripada Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. Selain itu, beliau juga mempunyai Sarjana Pengajian Pertahanan dari University of Canberra, Australia dan Sarjana Sains Sosial (Kajian Pertahanan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jawatan staf utama yang pernah disandang oleh beliau sepanjang perkhidmatan adalah sebagai Pembantu Ketenteraan kepada Panglima Tentera Darat, Pegawai Staf di dalam Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUC), Pemangku Pengarah Operasi Domestik di Markas Angkatan Bersama, Ketua Staf Markas 3 Briged Infantri, Ketua Staf Markas 3 Divisyen Infantri, Pengarah Kanan di Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) dan Asisten Ketua Staf Perancang Pembangunan di Markas Tentera Darat.

Pelbagai jawatan penting telah disandang oleh beliau daripada pemerintahan peringkat Batalion hingga ke pemerintahan peringkat Medan di dalam Tentera Darat. Beliau merupakan Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Panglima Briged Kedua Infantri, Panglima Divisyen Ketiga Infantri dan Panglima Latihan Tentera Darat sebelum memegang jawatan Panglima Medan Barat Tentera Darat pada bulan Jun 2020. Pada 19 Disember 2020, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat Ke-25.

Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Datin Seri Ramlah binti Dawi dan dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata iaitu dua orang perempuan dan seorang lelaki.

Sementara itu, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM yang merupakan Panglima Angkatan Tentera ke-21 telah mengambil alih jawatan berkenaan daripada Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Ts. Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin, Panglima Angkatan Tentera ke-20 pada 2 Januari 2020. Dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 21 Ogos 1962, dan mula memasuki perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia pada tahun 1980 setelah menamatkan pengajian di Maktab Tentera Diraja Malaysia, Sungai Besi adalah merupakan anak jati Sarawak pertama yang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera.

Selepas ditauliahkan sebagai Leftenan Muda TUDM dan dianugerahkan sayap penerbangan pada tahun 1982, kerjaya Jeneral Tan Sri Affendi sebagai Juruterbang Pesawat Pejuang bermula dengan pesawat MB339A, A4-PTM Skyhawk dan MiG-29 Fulcrum sehingga berjaya memperoleh lebih 2000 jam pengalaman penerbangan. Sepanjang melaksanakan tempoh operasi sebagai Juruterbang Pesawat Tempur, Jeneral Tan Sri Affendi telah terlibat secara aktif dalam pelbagai operasi udara di dalam Malaysia termasuk menentang pengganas komunis, meronda Zon Maritim dan ruang udara negara serta turut menjadi pengasas kepada pasukan aerobatik taktikal TUDM MiG-29 yang dikenali sebagai “Smokey Bandit”.

Sepanjang kariernya, Jeneral Tan Sri Affendi telah menjawat pelbagai jawatan sama ada di peringkat taktikal, operasi dan juga strategik. Antara jawatan penting yang pernah dijawat adalah Panglima Angkatan Bersama, Panglima Operasi Udara TUDM, Timbalan Panglima Tentera Udara dan Panglima Tentera Udara ke-18 sebelum menjawat jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21 pada 2 Januari 2020.

Perjalanan tugas Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi sebagai PAT Ke-21 telah melalui episod yang amat mencabar khususnya ketika negara dan dunia diserang pandemik COVID-19. Dengan kebijaksanaan dan wawasan yang dimiliki, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi telah berjaya membantu negara dalam mengawal penularan pandemik melalui bantuan yang diberikan kepada pihak PDRM di dalam OP PENAWAR dan mengetuai National Task Force untuk menjayakan OP BENTENG. Bukan itu sahaja, ATM turut mengaturgerak Hospital-hospital Medan ATM bagi menampung beban sistem kesihatan negara selain turut menggembleng usaha merealisasikan Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan jayanya. Keprihatinan serta sikap tanggungjawab untuk memelihara kesejahteraan dan keselamatan negara yang sentiasa menjadi pegangan Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi, akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila negara mengisytiharkan peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022.

Sebagai seorang yang mempercayai dan menyokong bahawa pentingnya menimba ilmu sepanjang masa, Jeneral Tan Sri Affendi telah dipilih menghadiri pelbagai kursus ketenteraan dan akademik sama ada di dalam mahu pun di luar negara. Hasil daripada pembelajaran yang telah dilalui, Jeneral Tan Sri Affendi memiliki Ijazah Sarjana Sastera (Pengajian Strategik) dari Deakin Universiti, Australia dan juga merupakan Ahli Royal College of Defence Studies (RCDS) di London, United Kingdom.

Jeneral Tan Sri Affendi telah dikurniakan pingat Panglima Tentera Udara (PTU) kerana telah mempamerkan keberaniannya dalam menentang insurgensi komunis di dalam negara. Selain itu, sebagai mengiktiraf segala sumbangan jasa bakti beliau kepada negara, Jeneral Tan Sri Affendi telah dianugerahkan dengan beberapa pingat dan anugerah sama ada dari negeri mahupun oleh Kerajaan Persekutuan. Antara penganugerahan tertinggi yang telah dicapai adalah Panglima Gagah Angkatan Tentera dan Panglima Mangku Negara yang telah dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, dengan membawa gelaran Tan Sri.

Di atas jalinan kerjasama ketenteraan yang erat di antara ATM dan negara-negara jiran, Jeneral Tan Sri Affendi telah dikurniakan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang (DPKT) daripada Sultan dan Yang Dipertua Negara Brunei Darussalam dan sebelum itu, Jeneral Tan Sri Affendi telah dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) daripada Kerajaan Republik Singapura. Bukan itu sahaja, beliau turut dianugerahkan Darjah Paduka Keberanian laila Terbilang Yang Amat Gemilang (DPKT) daripada Negara Brunei dan Honorary Officer of the Order of Australia (AO)(Military Division) daripada Negara Australia.

Jeneral Tan Sri Affendi telah mendirikan rumah tangga dengan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Turut hadir menyaksikan majlis serah terima tugas ini adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato' Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad.