JENERAL TAN SRI DATO' SRI HJ AFFENDI BIN BUANG TUDM DIRAI DI PERBARISAN PENGHARGAAN PANGLIMA ANGKATAN TENTERA KE-21

1 2 3
4 5 6
7 8 9
10 11 12
13 14 15
16 17 18
19 20 21
22 23 24
25 26 27
28 29 30

 

KUANTAN, 4 Sep 23 - Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM hari ini telah menghadiri Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera ke-21, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM yang diraikan dalam satu Istiadat Perbarisan Penghargaan di Pangkalan Udara Kuantan. Perbarisan ini adalah bertujuan sebagai penghargaan khas kepada beliau yang bakal menamatkan perkhidmatan setelah 43 tahun 6 bulan mencurahkan khidmat bakti serta jasa dan pengorbanan di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya di dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Turut diraikan bersama adalah isteri beliau, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang juga Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM.

Istiadat Perbarisan Penghargaan ini terdiri daripada seramai 63 Pegawai dan 723 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang melibatkan dua (2) kontinjen dari Tentera Darat Malaysia (TDM), satu (1) kontinjen masing-masing dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diketuai oleh Lt Kol Hassan Basri bin Tajul Ariffin TUDM manakala perbarisan diiringi Pancaragam Gabungan ATM di bawah pimpinan. Sebanyak 15 Panji-Panji dari ketiga-tiga perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM telah dibawa berarak di dalam perbarisan penghargaan ini.

Panji-Panji yang terlibat adalah tujuh (7) Panji-Panji daripada TDM masing-masing daripada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Rejimen Artileri Diraja (RAD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) manakala empat (4) Panji-Panji daripada TLDM melibatkan Panji-Panji daripada Kapal Diraja (KD) DUYONG, KD RAJAWALALI, KD PANGLIMA HITAM dan Skuadron Frigate Ke-23. Manakala Panji-Panji dari TUDM adalah daripada Rejimen TUDM, No 12 Skuadron, No 15 Skuadron dan No 16 Skuadron.

Sebaik ketibaan Panglima Angkatan Tentera dan seterusnya mengambil tabik hormat, terbang lintas empat (4) pesawat helikopter dengan dua (2) Helikopter EC 725 AP membawa Bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Bendera TUDM serta sebuah Helikopter Agusta A109 LOH milik TDM membawa Bendera TDM dan sebuah Helikopter AW139 Helikopter Operasi Maritim (HOM) milik TLDM membawa Bendera TLDM.

Beliau seterusnya memeriksa perbarisan menaiki kenderaan istiadat. Istiadat perbarisan yang berkonsepkan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat begitu menarik perhatian hadirin yang hadir dengan mutu disiplin yang terbaik selain turut diberikan penghargaan dengan terbang lintas hormat pesawat-pesawat tentera semasa perlahan jalan iaitu terbang lintas lapan ( 8 ) pesawat latihan PC-7 MKII, diikuti Helikopter dari ketiga cabang perkhidmatan dan Pesawat Pengangkut iaitu satu A400M dan tiga (3) C130H. Ketika perbarisan semasa cepat jalan, terbang lintas Pesawat Pejuang yang terdiri daripada Sukhoi SU-30MKM, Hawk dan F/A-18D.
Selesai perbarisan, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM dan isteri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah menyantuni dan beramah mesra bersama warga ATM yang hadir sebelum acara tradisi "Send off” menggunakan pesawat MIG 29 UB dan "street lining" dilaksanakan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada beliau dan isteri.

Turut hadir meraikan beliau sempena perbarisan ini adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato' Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad serta kenalan kenalan rapat dan ahli keluarga.