KUALA LUMPUR, 14 Apr 22 - Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, hari ini. Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah hadir menyaksikan majlis ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan isteri YAM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany; Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohamad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Pengerusi-pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT setiap perkhidmatan, pegawai kanan tentera dan awam Kementerian Pertahanan.
Sempena kedatangan Aidilfitri pada tahun ini, sebanyak 77 penyumbang terdiri daripada 11 penyumbang yang membuat sumbangan berbentuk barangan manakala, 66 penyumbang lagi telah membuat sumbangan berbentuk kewangan yang terdiri daripada badan korporat, badan berkanun, syarikat swasta dan persatuan sukarela kepada ATM. Sumbangan ini merupakan satu penghargaan oleh para penyumbang kepada warga ATM atas pengorbanan mereka dalam memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak dapat bersama keluarga di Aidilfitri nanti.
Menteri Kanan Pertahanan dalam ucapannya telah menyatakan bahawa usaha yang dilakukan bagi menghargai dan mengingati warga tentera yang bertugas baik di perbatasan negara mahupun di negara lain terutama di bawah misi Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta di Mindanao, Selatan Filipina di bawah International Monitoring Team (IMT). Dalam usaha menambahbaik aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota, veteran ATM serta ahli keluarga mereka, Menteri Kanan Pertahanan telah mengumumkan beberapa inisiatif baharu iaitu:
1. Pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dibenarkan membuat dua jenis pengeluaran mulai 15 April 2022 iaitu pertama, Pengeluaran Haji dengan jumlah maksimum RM10,000. Dengan syarat, telah menerima surat pengesahan tawaran mengerjakan Haji dari Lembaga Tabung Haji serta telah mencarum sekurang-kurangnya 15 tahun dengan LTAT dan kedua, Pengeluaran pendidikan dengan jumlah maksimum RM3,200. Ini bagi membantu pencarum yang mengikuti peringkat pengajian tinggi (Diploma, Ijazah, Ijazah Sarjana atau PHD) di universiti awam membuat bayaran balik jumlah yuran pendaftaran untuk semester.
2. Bayaran Persinggahan Pelabuhan Luar Negara kepada anak kapal TLDM mengikut penjadualan kini telah dinaikkan daripada RM20 kepada RM50 sehari.
3. Anggota ATM yang berumur 45 tahun yang bakal menamatkan perkhidmatan bukan sahaja bakal menikmati Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) yang telah dinaikkan daripada maksimun 150 hari kepada 160 hari tetapi juga dibenarkan menikmati bayaran pendahuluan yang bersamaan dengan 80 hari cuti tanpa perlu menunggu sehingga benar-benar tamat perkhidmatan.
4. Menambahbaik aspek pendidikan anakanak warga ATM termasuk penambahbaikan infrastruktur di 38 buah sekolah dalam kem ATM, pusat tuisyen, biasiswa dan beberapa lagi inisiatif.
Majlis diakhiri dengan dengan upacara tradisi membuka bungkusan Hari Raya oleh YB Menteri Kanan Pertahanan, Timbalan Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha serta Panglima- Panglima Perkhidmatan berserta isteri masing-masing. Terima kasih kepada semua para penyumbang yang telah memberikan sumbangan Aidilfitri kepada warga Pertahanan dan sentiasa menyokong Angkatan Tentera Malaysia amnya dan TUDM khususnya.