KUALA LUMPUR, 13 Apr 22 - Seramai 15 warga TUDM terdiri daripada pegawai dan anggota Lain-lain Pangkat hari ini antara di kalangan 45 warga ATM yang diraikan sebagai penerima anugerah di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Perkhidmatan & Pekerti Terbilang (PPT) peringkat Kementerian Pertahanan yang telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein bertempat di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur pada hari ini.
Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohamad Salleh bin Hj Osman TUDM telah hadir menyaksikan majlis ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksdya Dato’ Abdul Rahman bin Ayob serta pegawai kanan tentera dan awam Kementerian Pertahanan.
Majlis yang bertemakan ‘Memperkasa Legasi Keluarga Perkhidmatan Awam Cemerlang’ hanya melibatkan 381 orang penerima APC dan PPT diadakan dalam dua sesi iaitu seramai 241 penerima disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz dan 140 penerima disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan. Daripada jumlah tersebut, 291 adalah kakitangan awam, 45 warga ATM dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dan 45 orang pesara (awam) di Wisma Pertahanan dan unit-unit tentera, warga ATM serta Pesara Awam terpilih yang diraikan hari ini serta turut diraikan di majlis iftar. Pada tahun ini, Kementerian Pertahanan dan ATM telah menganugerahkan APC dan Pingat PPT kepada 864 kakitangan awam, 9,401 anggota ATM dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dan 172 orang pesara awam menjadikan jumlah keseluruhan adalah seramai 10,437 orang. Penerima APC dan PPT yang lain akan dilaksanakan oleh Perkhidmatan, Bahagian dan Jabatan masing-masing.
Majlis yang diadakan ini adalah bagi mengiktiraf dan menghargai warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia yang telah menunjukkan prestasi cemerlang di dalam jawatan dan bidang masing-masing. Semua penerima APC menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi wang tunai berjumlah RM1,000.00 yang dikreditkan ke dalam akaun gaji penerima anugerah bagi kakitangan awam dan anggota ATM. Manakala, untuk pesara awam, menerima Sijil Penghargaan serta hadiah persaraan wang tunai berjumlah RM 400.00 yang dikreditkan ke akaun gaji masing-masing dan juga tambahan PPT kepada mereka yang bersara wajib.
Menteri Kanan Pertahanan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 400.00 dari Pusat Zakat dan Pejabat Menteri Kanan Pertahanan kepada 150 orang asnaf dari kalangan kakitangan awam Kementerian Pertahanan. Sumbangan zakat ini adalah kepada penerima-penerima yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan juga muallaf.
Menteri Kanan Pertahanan ketika menyampaikan ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima APC dan PPT. Beliau turut menyatakan tiga harapan untuk dilaksanakan bersama iaitu:
1. Kekalkan momentum dalam melaksanakan tugas. Anugerah yang diterima bukanlah kemuncak, tetapi permulaan kepada kecemerlangan yang seterusnya serta jangan sesekali cepat berpuas hati.
2. Teruskan bekerja sebagai satu pasukan. Penerima anugerah adalah mereka yang telah terbukti dan diiktiraf cemerlang. Justeru, berikan sokongan kepada rakan sepasukan yang lain agar mereka juga dapat menjadi cemerlang dalam perkhidmatan serta memanfaatkan kelebihan masing-masing demi negara, Kementerian Pertahanan serta ATM.
3. Letakkan negara sebagai keutamaan. Setiap individu mesti menjauhkan diri dari sebarang salah laku yang boleh menjejaskan karier, kekal amanah, jujur dan bertanggungjawab di dalam setiap tugasan yang diamanahkan.
Sekalung tahniah diucapkan kepada semua penerima APC dari warga TUDM yang diraikan pada hari ini iaitu Mej Jen Dato’ Hanafiah bin Hj Abdul Manaf TUDM, Brig Jen Dato’ Hj Mohd Suhaimi bin Hj Sahri TUDM, Kol Sharani bin Kamaruddin TUDM, Kol Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali TUDM, Kol Dr. Norazrin bin Shamsudin TUDM, Lt Kol Amrul bin Yacob TUDM, Lt Kol Ahmad Sanusi bin Ali TUDM, Lt Kol Faizul Hussien bin Ismail TUDM, Mej Muhammad Zamani bin Saat TUDM, Mej Ahmad Ridwan bin Habi Bon Najar TUDM, Mej Haizawati binti Tamingin TUDM, Mej Muhammad Farid bin Abd Fatah TUDM, PW U II Abd Rashid bin Hamid, PW U II Mohd Azrie bin Hasnan dan PW U II Mohd Mazlan bin A.Karim. Semoga kekal cemerlang dan menjadi motivasi kepada warga TUDM yang lain.