Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Indonesia khususnya ke atas Tentara Nasional Indonesia - Angkatan Udara pada 20 hingga 21 Ogos 23 baru-baru ini. Lawatan kerja rasmi ini turut disertai oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Dr Norazrin bin Shamsudin TUDM.
Lawatan kerja Panglima Tentera Udara adalah bagi mengeratkan hubungan diplomatik pertahanan dan memperkukuhkan kerjasama pertahanan khususnya di antara dua angkatan udara iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU). Panglima Tentera Udara dan delegasi yang menaiki pesawat TUDM C130H tiba di Lanud Halim Perdanakusuma telah disambut oleh Asisten Intelijen (Asintel) KASAU Marsda TNI, Dr. T.B.H Age Wiraksono, S.I.P., M.A., di Gedung VIP Pandawa Lanud Halim serta Penolong Atase Pertahanan (Udara) di Jakarta, Leftenan Kolonel Aznan bin Alias TUDM juga pihak Atase Pertahanan dan Kedutaan Malaysia di Indonesia.
Lawatan kerja ini juga merupakan lawatan rasmi semenjak beliau menerajui tampuk kepimpinan TUDM sebagai Panglima Tentera Udara Ke-20. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah membuat kunjungan hormat ke atas rakan sejawatan, Kepala Staf Angkatan Udara (KASAU) Marsekal TNI Fadjar Prasetyo, S.E., M.P.P., CSFA. Beliau turut melakukan Kunjungan Hormat ke atas Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI) Laksamana TNI Yudo Margono di Markas Besar TNI Cilangkap, Jakarta Timur.
Sesungguhnya lawatan yang dilaksanakan ini telah membawa kepada hubungan dan kerjasama yang lebih erat antara kedua Angkatan Udara yang telah sedia terjalin sekian lama di antara Malaysia dan Republik Indonesia melibatkan kerjasama pertahanan di peringkat strategik, operasi dan taktikal. Melalui hubungan bilateral ini akan terus memperluaskan lagi kerjasama dan kolaborasi di masa hadapan sekaligus mencapai kesepakatan di dalam menjaga keamanan serantau.