KUANTAN, 19 November 2020 - Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah melaksanakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Kuantan (PU Kuantan). Lawatan kerja beliau turut disertai oleh isteri, Puan Sri Norainy binti Shahar Alam merangkap Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara yang memfokuskan kepada aspek kebajikan keluarga warga TUDM PU Kuantan. Ketibaan Panglima Tentera Udara (PTU) bersama isteri telah disambut oleh Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM; Komander Pangkalan, Brig Jen Mohd Fadzil bin Mohd Diah TUDM, Eksekutif Pangkalan serta isteri masing-masing.
Panglima Tentera Udara telah diberikan taklimat perkembangan, pencapaian dan cabaran pangkalan yang disampaikan oleh Komander Pangkalan, Brig Jen Mohd Fadzil bin Mohd Diah TUDM. Seterusnya, beliau dibawa melawat ke No. 10 Skn dan diberikan taklimat pengoperasian skuadron dan menyaksikan demonstrasi ‘Long Range Acoustic Device’ (LRAD). Beliau turut melawat dan diberikan taklimat pengoperasian Skn 401.
PTU juga telah meluangkan masa bertemu, menyantuni dan memberikan kata kata semangat sebagai tanda keperihatinan pucuk pimpinan TUDM dan menghargai anggota Lain-lain Pangkat (LLP) berpangkat Sarjan Udara setaraf dan ke atas di Wisma Bintara dan anggota LLP berpangkat Koperal Udara setaraf dan kebawah di Wisma Ahli Udara. Beliau turut meninjau kemudahan-kemudahan yang disediakan di kedua-dua wisma termasuk kemudahan sajian yang dibekalkan untuk anggota LLP.
PTU turut berkesempatan menyampaikan cenderahati kepada empat (4) orang anggota LLP dari No. 10 Skn yang telah dianugerahkan Sijil Khidmat Terpuji iaitu Sjn U Mohd Hafiz bin Hamzah, Kpl U Ahmad Aminuddin bin Misran, Kpl U Mohamad Hafizi bin Mohamad Saedi dan Kpl U Muhamad Husaini bin Hilmi yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang untuk organisasi TUDM.
Pada hari kedua lawatan kerja, PTU telah melawat Markas Wilayah Udara 1 (MAWILUD 1) dan melihat perkembangan pengoperasian MAWILUD 1 khususnya dengan penempatan bangunan markas di lokasi yang baharu di Kuantan. Beliau mengakhiri lawatan kerjanya selepas melawat dan mendengar taklimat operasi Skn 320 dan perkembangan pengurusan lojistik di Materiel Udara 1 (MATRA 1).
Lawatan kerja PTU ke PU Kuantan adalah keperihatinan pucuk pimpinan tertinggi TUDM untuk melihat sendiri dengan lebih dekat perkembangan semasa di pangkalan-pangkalan serta tahap kesiagaan yang dipraktikkan bagi memastikan TUDM sentiasa berada di dalam keadaan siap siaga pada sebilang masa sama ada ketika aman mahupun krisis.