LAWATAN KEBAJIKAN PENGERUSI JEMAAH TERTINGGI BAKAT UDARA KE BAKAT UDARA PANGKALAN UDARA KUANTAN

1 2 3
4 5 6

 

KUANTAN, 19 November 2020 – Seiring dengan lawatan kerja Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM ke Pangkalan Udara Kuantan (PU Kuantan), Puan Sri Norainy binti Shahar Alam merangkap Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara (JTBU) turut serta melaksanakan lawatan kebajikan pada 18 dan 19 Nov 2020. Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Udara yang sinonim dengan objektif penubuhannya terus memfokuskan kepada aspek kebajikan ahli-ahli BAKAT termasuk keluarga.

Ketibaan Puan Sri Norainy di Pangkalan Udara Kuantan telah disambut oleh AJK BAKAT Udara PU Kuantan yang diketuai oleh Pengerusinya, Puan Rohani binti Wan Musa, iaitu isteri Komander Pangkalan. Puan Sri Norainy dan AJK JTBU dibawa ke Dewan Seri Angkasa untuk bertemu bagi sesi dialog bersama ahli-ahli BAKAT Udara pangkalan khususnya di dalam memberikan sokongan moral kepada ahli-ahlinya dan menyampaikan maklumat-maklumat berkaitan kebajikan dan program-program BAKAT Udara di samping mendepani cabaran krisis kesihatan global yang melanda negara dan dunia ketika ini.

Seterusnya Pengerusi JTBU telah menyampaikan sumbangan kebajikan di dalam bentuk barangan dan wang tunai kepada ahli-ahli BAKAT Udara dan keluarga yang diuji dengan masalah kesihatan mengidap sakit kronik, anak istimewa dan balu anggota TUDM yang telah dikenalpasti memerlukan bantuan kebajikan. Semoga sumbangan kebajikan yang dihulurkan dapat membantu mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh mereka.

Lawatan kebajikan Pengerusi JTBU pada hari kedua diteruskan dengan lawatan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di dalam PU Kuantan. Puan Sri Norainy telah diberikan taklimat PPDK dan melihat progres pengurusan PPDK bersama para pelatih PPDK. Beliau turut menyampaikan sumbangan dari JTBU kepada PPDK sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada pihak pengurusan PPDK.