Labuan, 7 Feb 23 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM serta delegasi telah melaksanakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Labuan (PU Labuan) pada hari ini. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi beliau bagi memastikan dan mengetahui perkembangan terkini tentang tahap kesiagaan dan pengoperasian pangkalan dengan lebih jelas. Turut serta ialah isteri beliau, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan selaku Pengerusi Jemaah BAKAT Udara (JBU) yang membuat lawatan ke atas Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) PU Labuan.
Ketibaan Panglima Tentera Udara dan delegasi di Pangkalan Udara Labuan telah disambut oleh Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Dato’ Hj Shamsudin bin Kassim TUDM; Ketua Staf MAWILUD 2, Brigedier Jeneral Rozainy bin Ahmad Rapiee @ Ahmad Rofie TUDM; Komander Pangkalan Udara Labuan, Brigedier Jeneral Hj Muhammad Taha bin Hamdan TUDM serta barisan pegawai eksekutif MAWILUD 2 dan Pangkalan Udara Labuan. PTU telah menerima tabik hormat daripada kumpulan Kawalan Kuarter PU Labuan di perkarangan bangunan Pergerakan Udara.
Aktiviti lawatan dimulakan dengan acara menandatangani buku lawatan sebagai simbolik lawatan dan mengalu-alukan kedatangan PTU ke Pangkalan Udara Labuan di Membidai 2. PTU kemudiannya diberikan taklimat berkaitan pengoperasian dan tahap kesiagaan berkaitan MAWILUD 2 dan Pangkalan Udara Labuan serta unit-unit di bawah naungan oleh Panglima Wilayah Udara 2 serta Komander PU Labuan.
Selesai taklimat, PTU serta delegasi meneruskan lawatan ke No 14 Skuadron bagi acara penyerahan pesawat M30-08 serta turut melihat pesawat berkenaan yang selesai menjalani rawatan Structural Inspection (ST). PTU seterusnya meneruskan lawatan melihat aset-aset TUDM yang lain. Beliau turut menyantuni warga kerja No 14 Skuadron sebelum beredar ke Wisma Ahli Udara.
Di Wisma Ahli Udara (WAU), PTU dan delegasi meluangkan masa bersama-sama ahli WAU menikmati jamuan makan tengah hari. Beliau dan delegasi menyantuni ahli wisma dan mengadakan sesi dialog bersama anggota LLP dalam mengetahui cabaran dan kekangan di peringkat bawahan terutama anggota berpangkat Koperal Udara ke bawah.
PTU dan delegasi meneruskan lawatan ke Skuadron 340 dan diberikan taklimat pengoperasian serta perkembangan terkini berkenaan skuadron seterusnya ke Cawang Materiel sebelum mengakhiri lawatan. Lawatan turut disertai bersama oleh Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato' Mohd Shahada bin Ismail TUDM; AKS P&P, Mejar Jeneral Dato’ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM dan AKS Materiel, Brig Jen Nor Azmi Bin Abd Rahman TUDM yang masing-masing turut diiringi isteri.