KECEMERLANGAN SUMBER MANUSIA NADI KECEMERLANGAN TUDM

1 2 4
5 6 7
8 9 10
11 12 13
14 15 16
17 18 19

 

SUBANG, 20 Dis 21- Kecemerlangan organisasi adalah terletak kepada kecemerlangan sumber manusia yang menjadi aset utama sesebuah organisasi. Selama 63 usia Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), warga TUDM melalui pelbagai cabaran dan perubahan cara dan persekitaran kerja yang menuntut komitmen tinggi daripada segenap peringkat daripada peringkat anggota bawahan sehingga ke peringkat pucuk pimpinan tertinggi yang menjulang nama TUDM dengan peranan dan fungsinya tersendiri. Sebagai menghargai komitmen, dedikasi dan kualiti kerja warganya, pengiktirafan oleh pucuk pimpinan tertinggi TUDM dizahirkan kepada anggotanya di Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2021 yang diadakan secara sederhana di Pangkalan Udara Subang. Penyampaian Anugerah Kecemerlangan TUDM disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM yang turut diiringi oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM. Turut hadir ialah Panglima – Panglima Markas Pemerintahan, pegawai-pegawai kanan TUDM serta anggota Lain-lain Pangkat (LLP).

Sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada warganya, Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2021 diberikan mengikut kategori iaitu Anugerah Khas Letter of Commendation, Anugerah Terbang Selamat, Anugerah Airman of the Year, Anugerah Best Quarters of the Year, Anugerah Training Institute of the Year dan Anugerah Squadron of the Year.

Di acara ini, Panglima Tentera Udara menyempurnakan penyampaian anugerah khas penghargaan kepada pegawai TUDM yang telah berkhidmat dengan cemerlang di luar negara sekaligus turut meningkatkan imej TUDM dan nama baik negara di peringkat antarabangsa dengan menerima pengiktirafan serta penghargaan daripada UNIFIL. Mejar Mohd Noor Hafiz bin Mat Said TUDM telah menerima Letter of Commendation daripada Kolonel Francois Pinczon, Chief Liason Officer, Liason Branch UNIFIL Headquarters ketika bertugas di bawah misi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) di Naqoura sebagai pegawai perhubungan (liaison officer) yang berurusan dengan 23 wakil negara yang terlibat di UNIFIL. Beliau telah bertindak dengan cemerlang dalam mengurangkan ketegangan di Blue Line (BL) di antara IDF dan LAF semasa berkhidmat di sana bermula 30 Nov 20 hingga 25 Nov 21. Beliau juga telah mempamerkan kebolehan memahami keadaan semasa dan mampu mengatasi masalah tersebut dalam masa yang singkat, serta mempamerkan sikap kepimpinan yang tinggi dan bertindak secara profesional dengan semua pihak di sana.

Panglima Tentera Udara turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Terbang Selamat (ATS) kepada Lt Kol Raja Farizal Azam bin Raja Idris TUDM dari No. 2 Skn. ATS dianugerahkan kepada juruterbang sebagai pengiktirafan kepada keupayaan serta kemampuan di dalam menerbangkan dan mengendalikan pesawat TUDM tanpa mengalami sebarang kemalangan yang berpunca daripada kesilapan juruterbang itu sendiri (aircrew factor). Lt Kol Raja Farizal Azam bin Raja Idris TUDM yang juga adalah Pegawai Memerintah No. 2 Skn merupakan seorang juruterbang pesawat Global Express BD-700 serta pemeriksa juruterbang. Beliau berjaya mencatatkan jumlah jam penerbangan sebanyak 2004.2 jam, melayakkan beliau menerima Anugerah Terbang Selamat Gangsa.

Bagi Anugerah Airman of the Year, anugerah yang mula diperkenalkan pada tahun 2010 merupakan pengiktirafan kepada anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang telah mempamerkan kecemerlangan dalam tugasan dan mengharumkan nama perkhidmatan TUDM khususnya. Anugerah ini merangkumi tiga kategori iaitu Pegawai Waren Udara, Flait Sarjan dan Sarjan Udara serta Koperal Udara ke bawah. Penerima anugerah Airman of the Year tahun 2021 bagi kategori Pegawai Waren ialah PW U I Mohamad Azmee bin Mohammad Yusof, ketukangan Pembantu Kawalan Trafik Udara dari Pangkalan Udara Subang manakala Penerima Anugerah Airman of the Year Tahun 2021 bagi Kategori FSjn/Sjn Udara ialah FSjn Zairulfikri bin Zakaria, ketukangan Jurulatih Jasmani dari Kolej Perisikan ATM dan penerima Anugerah Airman of the Year Tahun 2021 Kategori Kpl Udara ke bawah ialah Kpl U Muhammad Rohaizad bin A. Manap, ketukangan Pembantu Pertahanan dari Pasukan Khas TUDM. Penerima anugerah ini diberikan sijil penghargaan, pin lencana Airman of the Year dan cenderahati daripada Panglima Tentera Udara. Kesemua calon akhir juga akan disokong khas bagi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun yang dicalonkan malah keistimewaan yang bakal diberikan kepada penerima anugerah ini ialah laluan kerjaya yang lebih mudah, keutamaan kursus-kursus di luar negara dan ikon kepada warga TUDM.

Bagi Anugerah Best Quarters of the Year diungguli oleh Pangkalan Udara Subang dengan kemenangan sebanyak empat tahun berturut-turut. Tempat kedua menjadi milik Akademi Tentera Udara dan tempat ketiga ialah Pangkalan Udara Jugra. Johan bagi anugerah ini membawa pulang wang tunai RM2,000.00 berserta sijil manakala tempat kedua membawa pulang wang tunai RM1,500.00 berserta sijil dan tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM1,000.00 berserta sijil.

Anugerah Training Institute of the Year merupakan satu anugerah yang dikhususkan kepada institut latihan di bawah naungan Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara sebagai satu simbolik untuk menzahirkan pengiktirafan, kebanggaan dan penghargaan terhadap kecemerlangan dalam pengurusan dan pelaksanaan kursus. Pemenang Anugerah Training Institute of the Year tahun 2021 disandang oleh Institut Latihan Pengurusan Materiel manakala tempat kedua disandang oleh Sekolah Latihan Tempur TUDM dan tempat ketiga ialah Institut Latihan Instruktur Terbang. Johan bagi anugerah ini membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM2,000.00 berserta sijil manakala tempat kedua membawa pulang wang tunai RM1,500.00 berserta sijil dan tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM1,000.00 berserta sijil.

Kemuncak Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM ialah dengan penyampaian Squadron of the Year tahun 2021. Anugerah ini telah diperkenalkan oleh Panglima Tentera Udara pada tahun 2011 bertujuan untuk menilai serta mengukur tahap keberkesanan dan kesiapsiagaan skuadron dalam melaksanakan tugas yang diberikan dan menampilkan prestasi yang cemerlang iaitu tahap pengoperasian yang cemerlang dari segi pencapaian jam penerbangan, mengekalkan prestasi kesiagaan operasi pada tahap yang tinggi dan mencapai tahap budaya kerja cemerlang dan berinovasi sejajar dengan matlamat TUDM. Johan Squadron of the Year tahun 2021 telah dinobatkan kepada No. 6 Skn manakala tempat kedua ialah No. 10 Skn dan tempat ketiga ialah No. 14 Skn. Johan bagi anugerah ini turut membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM2,000.00 berserta sijil manakala tempat kedua membawa pulang wang tunai RM1,500.00 berserta sijil dan tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM1,000.00 berserta sijil.

Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya menyatakan bahawa anugerah yang diberikan adalah mewakili setiap aspek yang sentiasa diberi penekanan di dalam TUDM iaitu quality of work, quality of training dan quality of life. Kecemerlangan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada kualiti kerja dan latihan yang mantap tetapi ianya juga perlu diseimbangkan dengan kualiti hidup yang baik, sekaligus memberi galakan moral dan motivasi kepada anggota TUDM untuk terus komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Menurut beliau, TUDM terus melakar sejarah tersendiri dalam menghadapi krisis pandemik Covid-19 yang mana penglibatan TUDM boleh dilihat secara langsung melalui jumlah jam penerbangan serta bantuan logistik yang diuruskan oleh TUDM dalam mendukung Pelan Pemulihan Negara. TUDM terus menunjukkan prestasi cemerlang di kala industri penerbangan lain terjejas teruk dan tidak berfungsi. Fungsi dan peranan TUDM dilihat sebagai elemen penting dalam menghulurkan sokongan logistik kepada agensi lain negara seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan kementerian/agensi lain yang memerlukan bantuan.

Dalam masa yang sama, TUDM terus berusaha mengekalkan keupayaan dalam mempertahankan ruang udara negara daripada dicerobohi oleh anasir-anasir yang tidak diingini yang diuruskan dengan sangat profesional, menunjukkan TUDM sentiasa bersiaga dan berupaya yang membuktikan kewibawaan TUDM sebagai organisasi yang mampan dalam memastikan ruang angkasa negara sentiasa aman. Warga TUDM perlu mampu untuk terus berkembang dan mencapai tahap prestasi yang baik bagi menyahut aspirasi TUDM untuk menjadi sebuah organisasi yang sentiasa dinamik dan inovatif malah peka kepada perubahan yang bakal dihadapi kelak dengan teknologi dan keupayaan masa hadapan. Setiap warga TUDM juga harus berusaha untuk memperbaiki kebolehan dan keupayaan masing-masing agar TUDM kekal relevan dan sentiasa dipandang tinggi.

Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM diadakan khusus untuk menghargai warga TUDM dan sebagai suntikan serta pembakar semangat untuk terus berkhidmat walau di dalam apa juga keadaan sama ada semasa aman mahupun ketika krisis, mahupun ketika melaksanakan tugas utama mahupun tugas sekunder.