KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN MENYEMPURNAKAN MAJLIS PERASMIAN KEM AL-SULTAN ABDULLAH MARKAS ANGKATAN BERSAMA

1 2 3
4 5 6
7 8 9

 

KUANTAN, 26 Jul 22- Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada hari ini telah berkenan bercemar duli ke Majlis Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama (MK AB) di Jalan Panching, Kuantan, Pahang. Turut berangkat ke majlis tersebut adalah KDYMM Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebaik keberangkatan tiba, KDYMM Seri Paduka Baginda telah menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada 4 pegawai dan 103 anggota Lain Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Mej Mohd Noorazmin bin Abd Rahim.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dipersembahkan dengan gimik acara pelancaran melibatkan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota pasukan khas dari ATM melibatkan pasukan dari Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan, 1 Kor Armor Diraja, 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), 4 Skuadron Semboyan Briged dan No 10 Skuadron, Tentera Udara Diraja Malaysia melibatkan aset udara iaitu sebuah helikopter EC 725 AP selain aset dari cabang perkhidmatan lain iaitu kenderaan FFR GK MK1 dan motosikal “scrambler”.

Majlis ini turut dihadiri oleh Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Zahani bin Zainal Abidin TUDM mewakili Panglima Tentera Udara berserta tetamu jemputan lain iaitu Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail; Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain; Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Indera Haji Yazid bin Haji Arshad TUDM dan wakil Panglima Tentera Laut.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seterusnya berkenan menandatangani plat penamaan kompleks MK AB sebagai Kem Al-Sultan Abdullah. Baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai peranan serta fungsi MK AB bertempat di Pusat Operasi Bersama (POB) serta berkesempatan berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan tugas operasi PASIR di Sabah serta yang bertugas di misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kem Al-Sultan Abdullah dinamakan sempena dengan nama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pembinaan Kem ini telah dirancang sejak tahun 2007 dan pemilihan lokasi di Sungai Panching Kuantan Pahang dengan kawasan seluas 97.769 ekar dilihat bersesuaian kerana kedudukan kem dan pangkalan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara yang sedia ada di Kuantan diyakin akan secara langsung dapat menyokong pengoperasian MK AB. Kem ini telah siap sepenuhnya pada 25 April 2019 dan telah diserahkan kepada MK AB pada 11 Jun 2019.

Penubuhan MK AB adalah untuk mengendalikan tugas berdasarkan kepada konsep penugasan bersama (Jointness), yang bersifat tiga khidmat (Tri-Service) di dalam ATM. Markas ini juga berperanan untuk menyelaraskan keperluan ATM di dalam operasi dan misi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia juga berfungsi sebagai sebuah Pemerintahan Peringkat Operasi (Operational Level Command) yang bertanggungjawab terhadap merancang dan melaksanakan semua Operasi Bersama (Joint Operation), Operasi Berkemungkinan Bersama (Potentially Joint Operation), Operasi Gabungan (Combined Operation), Operasi Bersepadu (Integrated Operation) dan Operasi Pelbagai Negara (Multi National Operation) seperti operasi di bawah Piagam PBB serta terlibat melaksanakan Eksesais Bersama dengan Angkatan Tentera dari negara-negara luar yang lain.