ISTIADAT MENGARAK PANJI-PANJI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG TAHUN 2022

1 2 3
4 5 6

 

PUTRAJAYA, 10 Jun 22 - Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al Haj telah bercemar duli ke Istiadat Mengarak Panji-Panji KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda bertempat di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

Turut hadir ke istiadat ini adalah Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob serta isteri, YABhg Datin Sri Muhaini binti Zainal Abidin; Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein serta isteri, YM Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah; Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan isteri YAM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hjh Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany; Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM dan isteri, Datin Dr Hajjah Sorayah binti Sidek; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM dan isteri Datin Indera Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan isteri Datin Dr Halina binti Haron; warga Angkatan Tentera Malaysia serta kakitangan awam Kementerian Pertahanan.

7 8 9
10 11 12

 

Di istiadat ini, sebanyak lima (5) Panji-Panji KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong diarak oleh kontinjen-kontinjen dari tiga (3) perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) serta Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Istiadat ini secara keseluruhan melibatkan 131 pegawai dan 1,066 anggota Lain Lain Pangkat (LLP) dan daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 57 pegawai dan 847 anggota LLP adalah mereka yang terlibat dalam perbarisan istiadat berkenaan diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Fadzly bin Mohd Yasin, Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD; Ajutan Perbarisan, Kapt Khairul Izwan bin Nawawi TUDM serta diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat Angkatan Tentera Malaysia di bawah pimpinan Mej (Dom) Muhamad Nor Azizan bin Yahya.

13 14 15
16 17 18

 

Penglibatan Kontinjen TUDM di perbarisan ini melibatkan Pengawal Nombor 3 yang diketuai oleh Mej Fauzi Rizal bin Mohd Sati TUDM; Sabaltan iaitu Kapt Muhammad Adam bin Mohamad Yusoff TUDM dan Kapt Mohamad Saifullah bin Mohammad TUDM; Pegawai Panji-Panji TUDM iaitu Leftenan Zunaidi bin Noh TUDM; Sarjan Mejar Rejimen Perbarisan ialah PW U I Muhammad Soffi bin Rashid manakala Pegawai Pengawal Medan ialah Lt Hanif Shamil bin Samso Kamal TUDM. Selain daripada itu, tidak terkecuali penglibatan juruacara majlis daripada TUDM iaitu Mej Neny Suhaida binti Ab Suki TUDM yang berganding bersama dengan Mej Raja Khalil bin Raja Abdul Kahar dari TDM serta dua (2) Pegawai Kanan TUDM iaitu Kol Mohd Sam bin Mohd Yusof TUDM dan Kol Hamdan bin Ahmad TUDM yang bertindak sebagai pengulas bersama-sama Pengacara RTM bersiaran secara langsung membawakan perjalanan istiadat perbarisan khususnya melibatkan TUDM.

19 20 21
22 23 24

 

Sebaik keberangkatan tiba KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, baginda menerima Hormat Diraja dan terbang lintas hormat lima (5) buah helikopter ATM iaitu tiga (3) buah helikopter EC 725 AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Super Lynx yang membawa Bendera Jalur Gemilang, Bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM diketuai oleh Mej Nazrul Nizam bin Ismail TUDM dari No 10 Skuadron bersama dengan Tembakan Kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Lt Kol Mohammad Asri bin Che Wil.

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong kemudiannya menyempurnakan pemeriksaan perbarisan dengan menaiki kenderaan istiadat seterusnya menyaksikan Perarakan Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan dengan Perbarisan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat, Perbarisan Mara Mengadap serta laungan “Daulat Tuanku” oleh kontinjen perbarisan. Seterusnya bacaan doa dilafazkan memohon kesejahteraan dan keselamatan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong menaungi negara yang diketuai oleh Ketua Pengarah KAGAT, Mej Jen Haji Mohd Rashidi bin Bujai. Istiadat perbarisan berakhir dengan Hormat Diraja diikuti lima (5) buah helikopter ATM iaitu Tiga (3) EC 725 AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Fennec sebelum keberangkatan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong meninggalkan majlis istiadat.

25 26 27
28 29 30

 

Perbarisan mengarak panji-panji adalah satu istiadat gilang gemilang kepada ATM. Panji-panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara. Penganugerahan panji-panji kepada perkhidmatan atau pasukan di dalam ATM merupakan pengiktirafan, penghormatan dan lambang kesetiaan sesebuah perkhidmatan/pasukan berkenaan kepada Raja dan Negara serta dapat membangkitkan semangat juang yang tinggi dan menjadi kemegahan kepada sesuatu perkhidmatan atau pasukan berkenaan.

Sekalung tahniah dan syabas kepada seluruh warga TUDM yang telah memberikan komitmen yang tinggi menjayakan istiadat perbarisan kali ini termasuk AJK-AJK terlibat, barisan jurulatih kawad serta semua lapisan peringkat warga udara.