SUBANG, 28 Sep 21 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan tanggungjawab sosial bagi bantuan logistik penghantaran peralatan perubatan dan bekalan ubatan ke Sabah dan Sarawak. Penghantaran udara melalui penerbangan “logistic communication” melibatkan sebuah pesawat angkut C130 H telah berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Kuching pada jam 7.00 pagi dan sebuah pesawat angkut A400M yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Kuching dan Kota Kinabalu pada jam 8.00 pagi yang membawa peralatan perubatan dan bekalan ubatan daripada Special Task Force Kesihatan Awam yang dikenali sebagai Greater Klang Valley Special Task Force (GKVSTF).
Antara peralatan dan bekalan ubatan yang dibawa menerusi penerbangan hari ini terdiri daripada silinder oksigen, Oxygen Concentrator, High Flow Nasal Connula, Syrup Paracetamol, Etoricoxib Tablet dan lain-lain lagi. Secara keseluruhannya, sebanyak 1008 unit silinder oksigen 40L 6.8m³ atau 63 pallet dihantar oleh Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley ke Sarawak untuk kegunaan di semua hospital di seluruh Sarawak. Bilangan yang sama juga dihantar ke Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk kegunaan hospital di negeri Sabah dengan berat keseluruhan kesemuanya ialah 104,705 kg.
Penghantaran peralatan ini berlanjutan daripada penubuhan GKVSTF bagi mengurus dan menangani situasi kritikal penularan wabak Covid-19 penularan wabak Covid-19 di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, selatan Negeri Perak serta Daerah Bentong di Negeri Pahang. GKVSTF diterajui secara bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Penubuhan GKVSTF telah memberi kesan yang positif terhadap usaha kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19 di Greater Klang Valley. Walau bagaimanapun, berikutan terdapat peningkatan kes jangkitan Covid-19 di beberapa buah negeri di luar GKVSTF termasuk negeri Sabah dan Sarawak, keperluan kepada peralatan perubatan dan ubat-ubatan turut meningkat dan memerlukan penghantaran yang segera agar rawatan kepada pesakit tidak terjejas. Penghantaran peralatan dan bekalan ubatan dihantar melalui pesawat TUDM secara berperingkat.
Pesawat C130H telah dikendalikan oleh Juruterbang, Kapt Mohamad Irwan bin Kamarudzaman TUDM dibantu oleh Kapt Muhammad Hazim bin Mohd Nor TUDM selaku pembantu juruterbang serta Jurumalim, Kapt Muhammad Firdaus bin Osman TUDM dan Jurutera Penerbangan, Mejar Nik Hasri bin Nik Leh TUDM. Anak kapal lain turut terlibat adalah empat (4) orang loadmaster iaitu PW U II Zulfamy bin Sulaiman , F/Sjn Muhammad Khaidzri bin Saberi, F/Sjn Pettrus anak Diric dan Sjn U Muhammad Zairizuan bin Zainuddin.
Manakala Pesawat A400M dikendalikan oleh Juruterbang, Lt Kol Yusrizal bin Zain TUDM, Mej Syahmi bin Nazri TUDM, dan Mej Tengku Syed Muhammad Amin bin Tengku Syed Abdul Rahman TUDM dibantu oleh Kapt Nik Muhammad Shukri bin Nik Hasan TUDM dan Kapt Muhammad Idris bin Ismail TUDM selaku pembantu juruterbang serta empat (4) loadmaster, PW U II Mohd Azril bin Mohd Ayob, F/Sjn Abdul Rahman bin Sumsudin, Sjn U Mohd Taridi bin Kasim dan Sjn U Mohd Hasyimi bin Md Hassim.
Semoga usaha yang dilaksanakan oleh TUDM dengan kerjasama semua pihak terutama KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Negeri Sarawak akan dapat merealisasikan usaha memerangi Covid-19. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua petugas termasuk anak kapal No. 20 Skuadron dan No. 22 Skuadron, anggota TUDM Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang dan anggota TUDM Cabang Pergerakan Udara, Pusat Kawalan Lalu Lintas Bersama (PUKALUB) Kota Kinabalu yang sentiasa bersiapsiaga melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan serta semua pihak yang terlibat dalam usaha memastikan semua proses berjalan lancar. TUDM juga turut mendukung usaha dan kerjasama bersepadu semua pihak yang menyalurkan bantuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa diutamakan.