![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUCHING, 13 November 2025 – Seminar Pemantapan Akidah Peringkat Pangkalan Udara Kuching Tahun 2025 anjuran Pejabat Agama Pangkalan Udara Kuching telah berlangsung dengan penuh jayanya di Surau Al-Jahirah Pangkalan Udara Kuching.
Seramai 150 orang peserta menyertai seminar ini yang terdiri daripada Pegawai, anggota dan Staf Awam Pangkalan Udara Kuching. Seminar ini turut dihadiri oleh Komander Pangkalan Udara Kuching, Kol Yusrizal bin Zain TUDM.
Seminar ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap asas akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta memberi pendedahan mengenai cabaran aqidah kontemporari yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Faridzuan bin Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Agama, Jabatan Agama Islam Sarawak.
Fokus utama penganjuran seminar ini memberi tumpuan kepada usaha membentuk kefahaman akidah yang mantap dalam kalangan warga pangkalan terutamanya menghadapi fenomena semasa seperti penyebaran fahaman liberalisme dan sekularisme, pengaruh media sosial terhadap pemikiran masyarakat Islam, penularan ajaran sesat secara halus, kekeliruan konsep tauhid dalam persekitaran digital serta ancaman ideologi yang merosakkan jati diri ummah.
Kemuncak program diserikan dengan sesi soal jawab dan penyerahan sumbangan cenderahati kepada penceramah. Seminar Pemantapan Akidah Peringkat Pangkalan Udara Kuching Tahun 2025 berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kefahaman agama serta mengingatkan warga pangkalan akan tanggungjawab mempertahankan kesucian akidah. Program seperti ini sangat signifikan dalam membina generasi muslim yang lebih celik, berprinsip dan tidak mudah goyah bagi menghadapi cabaran semasa.









