![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
SENDAYAN, 10 Okt 25 - Sempena sambutan Hari Ulang Tahun Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR) ke-53, INSTAR telah menganjurkan Program “Satu Hati, Satu Tujuan, Satu Komuniti” dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Felda Sendayan bertempat di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Felda Sendayan.
Program ini dihadiri oleh Lt Kol Junaidi bin Abdul Aziz TUDM, Pegawai Memerintah INSTAR bersama semua pegawai, anggota LLP dan penuntut kursus-kursus INSTAR.
Program dimulakan pada jam 0745 melalui sesi pemanasan badan di Kompleks Sukan TUDM, Pangkalan Udara Sendayan yang diikuti dengan aktiviti brisk walk sehingga ke Tanah Perkuburan Islam, Kampung Felda Sendayan. Program diteruskan dengan sesi gotong-royong dalam kawasan tanah perkuburan dan diakhiri dengan jamuan ringkas.
Program seumpama ini merupakan antara platform terbaik INSTAR dalam menyantuni masyarakat setempat melalui pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan yang dapat mengeratkan hubungan dengan penduduk sekitar, sekaligus membina kepercayaan dan persefahaman antara pihak tentera dan orang awam. Dalam masa yang sama, program ini turut mencambah semangat kesukarelawanan dan cintakan negara dalam kalangan pegawai dan anggota LLP INSTAR melalui sumbangan tenaga secara sukarela melibatkan aktiviti di luar bidang tugas rasmi ketenteraan.
Selain itu, program ini juga merupakan satu manifestasi INSTAR dalam merealisasikan Tonggak 6: Melestarikan Warga Udara yang termaktub dalam Perintah Ulung PTU ke-21. Penglibatan semua pegawai dan anggota LLP INSTAR dalam program seperti ini menyumbang secara langsung kepada peningkatan kesejahteraan warga udara khasnya para pegawai dan anggota LLP INSTAR melalui pembudayaan work life balance.
Kesimpulannya, penglibatan pegawai dan anggota LLP INSTAR dalam aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk setempat bukan sahaja memperkukuh hubungan tentera dan komuniti malahan turut memberi impak positif terhadap pembangunan sahsiah anggota, pengukuhan nilai murni serta peningkatan imej dan reputasi INSTAR sebagai salah sebuah institusi latihan TUDM yang profesional, berintegriti dan mesra masyarakat.








