GONG KEDAK, 6 Mac 24 - Pangkalan Udara Gong Kedak dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan telah melaksanakan Program Derma Darah di Dewan Puteri PU GK. Program ini merupakan inisiatif pihak Pangkalan dalam membantu pihak HUSM untuk menangani masalah kekurangan bekalan darah berikutan peningkatan kes yang memerlukan rawatan transfusi darah.
Program Derma Darah ini melibatkan 26 orang Kakitangan Jabatan Tabung Darah HUSM dengan sasaran awal seramai 100 orang penderma. Program yang dimulakan pada jam 9 pagi dan berakhir jam 2 petang ini turut dibantu oleh 10 orang staf Perubatan termasuk dua (2) orang Pegawai Perubatan Pangkalan telah disertai seramai 121 orang warga pangkalan yang terdiri daripada anggota dan Staf Tadbir Awam. Namun, daripada jumlah tersebut seramai 107 orang yang melepasi saringan dan layak menderma darah.
Pihak Tabung Darah HUSM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Pengurusan dan warga Pangkalan di atas sikap keprihatinan dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Program kolabrasi bersama HUSM ini akan diteruskan dari masa ke semasa sebagai salah satu program Civil Military Coorperation (CIMIC).