SUBANG, 16 Jan 23 – Markas Pemerintahan Bantuan Udara (MPBU) telah melaksanakan Perbarisan Pegawai Memerintah bertempat di Padang Kawad Markas yang dihadiri oleh semua pegawai, anggota LLP serta kakitangan awam yang berkhidmat di MPBU.
Acara dimulakan dengan penerimaan tabik hormat dan seterusnya pemeriksaan perbarisan oleh Pegawai Memerintah MPBU, Brig Jen Muhd Aznor bin Hj Md Ghazali TUDM. Turut diadakan semasa perbarisan ialah Majlis Sumbangan Kebajikan kepada anggota dan staf awam MPBU.
Dalam ucapan Pegawai Memerintah, beliau telah merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga MPBU yang telah berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti pada tahun 2022 dengan jayanya dan berharap agar takwim aktiviti-aktiviti bagi tahun 2023 yang telah dirancang juga dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.
Pegawai Memerintah MPBU turut memberi penekanan berkenaan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) MPBU 2023, perancangan senggaraan pesawat bagi menyokong pelaksanaan eksesais 2023, penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’ 2023) serta hal-hal berkaitan pentadbiran dan disiplin kepada seluruh warga Markas.
Ucapan telah diakhiri dengan amanat Pegawai Memerintah bagi tahun 2023 yang menyatakan hasrat agar semua anggota MPBU bersama-sama berganding bahu untuk menjadikan MPBU sebuah organisasi yang cemerlang dan berintegriti. Beliau juga turut mengucapkan Selamat Tahun Baru 2023 dan Selamat Tahun Baru Cina kepada anggota yang menyambutnya.