KUCHING, 23 Jan 25 – Pangkalan Udara Kuching telah melaksanakan Perbarisan Komander Pangkalan bertempat di Padang Kawad Markas Pangkalan yang turut dihadiri oleh Pegawai Eksekutif Pangkalan, Pegawai dan Anggota serta warga kakitangan awam yang bertugas di bawah naungan pangkalan.
Perbarisan ini terdiri daripada 5 Pegawai dan 109 Anggota LLP telah diketuai oleh Mej Azizol Rahman bin Shafie TUDM. Upacara perbarisan ini dimulakan dengan tabik hormat kontinjen perbarisan kepada Komander Pangkalan, Kol Yusrizal bin Zain TUDM diikuti dengan Nyanyian Lagu Negaraku, Nyanyian Lagu Perwira di Angkasa dan seterusnya pemeriksaan perbarisan oleh Komander Pangkalan. Dalam perbarisan tersebut, Komander Pangkalan turut menyempurnakan Pemakaian Pangkat kepada seramai 11 Anggota LLP Pangkalan Udara Kuching.
Dalam ucapan beliau, Komander Pangkalan telah mengingatkan warga Pangkalan Udara Kuching agar tidak terlibat dengan salah laku tatatertib yang boleh menjejaskan perkhidmatan dan prosedur kerja harian. Komander Pangkalan juga menyeru warga pangkalan agar menelaah Ucapan Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan Malaysia pada 17 Jan 25 yang lepas yang menggariskan 10 fokus utama untuk diberikan perhatian.
Ucapan perbarisan diakhiri dengan laungan Ikrar Kesatria oleh seluruh warga pangkalan dan bacaan doa.