SUBANG – Walaupun negara sedang dilanda dengan wabak Covid-19, ia tidak menjadi penghalang kepada pegawai dan anggota dari No 16 Skuadron untuk meneruskan Projek Jiwa Murni yang dirancang di Pusat Jagaan Budi Bestari Shah Alam bagi membantu dengan memberikan sumbangan barangan harian secara one off kepada pusat jagaan anak-anak yatim dan warga emas tersebut.
Pegawai Memerintah No 16 Skn, Lt Kol Mohamad Zaini bin Zainorin TUDM berkata, sebagai langkah untuk mengelak wabak berkenaan, program tersebut dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dilaksanakan di luar kawasan zon merah.
Justeru, wabak Covid-19 bukanlah alasan untuk menghentikan program seperti ini kerana ia menjadi landasan mengeratkan hubungan antara tentera dan rakyat sekaligus dapat membantu mereka yang terkesan dengan penularan wabak ini.
Program Jiwa Murni yang diperkenalkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika era menentang pengganas komunis pada awal 1970an, tetap relevan sehingga kini dan walaupun negara sudah aman program khidmat masyarakat itu masih memberikan manfaat kepada rakyat, selain dapat mengeratkan hubungan anggota keselamatan dengan masyarakat setempat.
Program Jiwa Murni turut menjadi ruang terbaik untuk ATM mempromosikan peluang kerjaya yang disediakan kepada belia yang bersemangat untuk turut menyumbang bakti mempertahankan kedaulatan negara.