ALOR GAJAH, 13 Okt 23 - Mesyuarat Pemerintahan Panglima Wilayah Udara 1 Siri 1/2023 telah dilaksanakan dengan jayanya selama (3) tiga hari bermula dari 11 hingga 13 Oktober 2023 di A’Famosa Resort, Alor Gajah, Melaka. Pembukaan Mesyuarat telah disempurnakan oleh Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato' Mahadzer bin Amin TUDM. Turut hadir bagi mesyuarat ini adalah Brig Jen Dato’ Abdul Halim bin Abu Hassan TUDM selaku Ketua Staf MAWILUD 1, Komander-komander Pangkalan dan Pegawai-pegawai Memerintah di bawah naungan MAWILUD 1.
Mesyuarat pemerintahan ini diadakan bertujuan untuk membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan pengurusan penyelenggaraan, keselamatan dan pentadbiran untuk meningkatkan tahap kompetensi anggota di setiap peringkat Pangkalan/Skuadron bagi mencapai visi dan misi MAWILUD 1 khasnya dan TUDM amnya. Mesyuarat ini juga telah memberi penekanan terhadap "SNCO Empowerment" yang meliputi Accountability, Responsibility & Enforcement. "SCNO Empowerment" perlu diberi penekanan dalam mencegah kes buli.
Pada mesyuarat kali ini, setiap Unit/ Pangkalan telah menyampaikan taklimat berkaitan dengan FLIT-LCA, Maklum Balas Pemeriksaan MAWILUD 1 dan IGTU, Pemerkasaan Kawalan Keselamatan dan Kajian serta Analisis Terhadap Jumlah Keseluruhan Inventori Berbanding Keperluan Optimum AGSV dan AGSE.
Daripada taklimat tersebut, mesyuarat telah dapat mengenal pasti beberapa isu, cabaran, hala tuju dan tindakan yang perlu diambil bagi tujuan penambahbaikan. Panglima Wilayah Udara 1 dalam ucapannya menyeru agar segala usaha digembleng dan bersama-sama menumpukan daya usaha secara konsisten atas semangat "esprit de corps" dari semua lapisan ahli mesyuarat khususnya dan seluruh peringkat warga MAWILUD 1 amnya bagi mencapai resolusi mesyuarat.
Mengakhiri ucapan, Panglima Wilayah Udara 1 turut menyeru semua ahli mesyuarat untuk melaksanakan segala tindakan sewajarnya dengan teliti dan berhemah. Perancangan seharusnya mengguna pakai kerangka strategi, pendekatan penyelesaian masalah "problem solving" yang ideal serta dalam tempoh kerangka masa yang realistik agar tidak tersasar dari objektif sebenar seperti mana yang diharapkan.