PONTIAN, 13 Okt 23 – Jenazah Allahyarham Kpl U Mohamad Khairil bin Abdul Aziz telah selamat dikebumikan dan diuruskan mengikut tradisi ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Damai Tanjung Piai, Pontian, Johor pada jam 10.22 malam tadi.
Allahyarham Kpl U Mohamad Khairil bin Abdul Aziz yang bertugas di MPOU-A6 telah kembali ke Rahmatullah selepas menunaikan Solat Asar di Surau MPOU.
Jenazah Allahyarham telah dibawa ke Masjid Al-Muhajirin PU Subang dari Hospital Ampuan Rahimah, Klang setelah selesai urusan bedah siasat untuk urusan pengurusan jenazah dan disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh warga TUDM dan BAKAT Operasi Bantuan (BOB). Seterusnya, Jenazah Allahyarham telah dibawa ke kampung halamannya di Pontian, Johor untuk penghormatan terakhir ahli keluarga serta kenalan dan solat jenazah oleh penduduk kampung di Surau Al-Wadud, Pontian.
Timbalan Ketua Staf MPOU, Brig Jen Dato’ Othman bin Ahmad TUDM mewakili Panglima Tentera Udara telah menyantuni waris dan menyempurnakan penyerahan Bendera TUDM kepada isteri Allahyarham, Puan Ummu Fasihah Husna binti Zamri sebagai menzahirkan penghormatan dan penghargaan di atas jasa Allahyarham berkhidmat untuk TUDM khususnya dan negara amnya. Beliau dan isteri, Datin Rahimah binti Ibrahim yang juga mewakili Pengerusi Jemaah BAKAT Udara turut menyampaikan sumbangan Tabung Kebajikan TUDM serta sumbangan BAKAT BOB kepada isteri Allahyarham bagi membantu meringankan beban kewangan.
Turut hadir memberi penghormatan adalah Asisten Ketua Staf A4, Kol Hisham bin Zakaria TUDM dan Isteri; Asisten Ketua Staf A6, Lt Kol Azmi bin Saamah TUDM; Pemangku Pegawai Memerintah Skn 323 TUDM dan Timbalan Pegawai BAKAT BOB. Seramai 50 Pegawai dan anggota LLP serta Ahli BAKAT BOB juga hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Kpl U Mohamad Khairil bin Abdul Aziz.
Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan Pengerusi Jemaah BAKAT Udara Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan serta seluruh warga TUDM dan BAKAT Udara mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan ketabahan dan kesabaran dan roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama hambaNYA yang beriman. Al-Fatihah.