MAJLIS PENUTUP MINGGU KESELAMATAN TAHUN 2024 PERINGKAT PANGKALAN UDARA GONG KEDAK

1 2 3
5 5 6
7 8 9
11 10 12

 

GONG KEDAK, 27 Mac 24 – Majlis Penutup Minggu Keselamatan telah disempurnakan oleh Komander Pangkalan, Kol Mohd Faizal bin Abu Bakar TUDM yang telah diadakan di Dewan Puteri PU Gong Kedak. Majlis penutup dihadiri oleh 40 Pegawai dan 360 LLP Pangkalan Udara Gong Kedak.

Program Minggu Keselamatan Pangkalan ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif penganjurannya. Minggu Keselamatan peringkat Pangkalan Udara Gong Kedak bagi Tahun 2024 telah berlangsung selama tiga (3) hari bermula 25 sehingga 27 Mac 24 dengan bertemakan "Keselamatan Di Jalan Raya dan Tempat Kediaman.”

Antara pengisian sepanjang program berlangsung adalah Ceramah Keselamatan Jalan Raya, Ceramah Kebakaran, Ceramah Anti Dadah, Ceramah Integriti, Pertandingan Menulis Artikel Keselamatan, Pertandingan Melukis Poster dan Pertandingan Booth Pameran.

Ceramah Anti Dadah oleh AADK dan Ceramah Integriti oleh SPRM turut diselitkan pada program minggu keselamatan ini sebagai salah satu program tambahan yang dianjurkan bagi memberikan kesedaran kepada warga pangkalan dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah dan rasuah.

Majlis penutup ini dimulakan dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi beberapa kategori yang dipertandingkan. Bagi Pertandingan Menulis Artikel Keselamatan, pemenang adalah Mej Dr Muhammad Ali bin Zan dari Cawangan Tadbir. Untuk Pertandingan Melukis Poster kategori Keselamatan dimenangi oleh LU II Hendry Jalin Anak Jinggut dari Cawangan Bomba dan bagi kategori Antidadah pula dimenangi oleh Fsjn Aisamuddin bin Mohammad dari Cawangan Operasi. Manakala bagi Pertandingan Booth Pameran Terbaik telah disandang oleh Cawangan Kejuruteraan.

Semasa ucapan penutup, Komander telah telah mengingatkan agar semua peringkat anggota pangkalan supaya mengutamakan aspek keselamatan dalam kehidupan seharian terutamanya keselamatan jalan raya rentetan jumlah kemalangan yang semakin meningkat. Beliau juga berpesan kepada setiap anggota supaya menjadi pengguna jalan raya yang berhemah semasa pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri dan mendoakan agar dipermudahkan perjalanan pulang ke kampung halaman kepada semua warga pangkalan.