KUANTAN, 9 Feb 22 - Pengurusan Jenazah adalah Fardu Kifayah dan perlu dipelajari dan diketahui oleh semua umat Islam. Perkara ini tidak hanya perlu diketahui oleh imam, bilal atau pegawai syarak tetapi ianya adalah ilmu yang perlu dituntut oleh orang-orang yang beriman.
Sehubungan dengan itu, Pejabat Agama Pangkalan telah mengambil pendekatan dengan mengadakan kursus Pengurusan Jenazah yang bertempat di Surau At-Taqwa PU Kuantan. Kursus yang berlangsung selama satu hari ini telah mendapat penyertaan seramai 75 orang peserta. Peserta tersebut terdiri daripada 45 orang campuran anggota dan tadbir awam lelaki dan 30 orang peserta campuran anggota Wanita dan Ahli BAKAT Pangkalan Udara Kuantan.
Kursus ini diadakan bertujuan untuk melatih dan memberi kefahaman secara terperinci kepada umat Islam tentang cara pengurusan jenazah yang betul jika berlaku kematian. Selain itu para peserta yang menyertai kursus ini berpeluang menambah ilmu pengetahuan dengan mengajukan soalan-soalan berkaitan pengurusan jenazah, kematian dan lain-lain hal yang berkaitan.
Antara pengisian program ini termasuklah penerangan teori pengurusan jenazah, latihan praktikal pengurusan jenazah dan sesi soal jawab. Penerangan teori dan praktikal merangkumi cara penyediaan kain kapan, memandikan jenazah dan mengkafankan jenazah lelaki dan wanita.
Diakhir program, Komander Pangkalan, Brig Jen Ahmad Khusairi bin Ahmad Fadli TUDM telah berbesar hati bagi menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil kepada semua peserta kursus dan sekaligus merasmikan majlis penutup kursus.
Komander Pangkalan dalam ucapan beliau turut berharap agar kursus seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Turut hadir dalam majlis ini ialah Pegawai Eksekutif Pangkalan, Kol Zulkifli bin Hj Samsu Hadi TUDM serta Pegawai-pegawai Memerintah Skuadron dan Cawangan.