SUBANG, 28 Feb 23 - Buat pertama kali, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan latihan bersepadu menggabungkan elemen Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam latihan yang dinamakan Air Mobility Tactical Operation (AMTOP) Siri 1/23. Latihan ini dikoordinasi oleh Markas Wilayah Udara 1 (MAWILUD 1) sebagai hos yang dilaksanakan di kawasan operasi latihan sekitar Kuantan, Gong Kedak, Mersing dan Pulau Pangkor.
Misi utama latihan AMTOP ini adalah bagi melestarikan latihan antara skuadron-skuadron angkut dan helikopter TUDM dengan tugas operasi dan latihan yang sedia ada bersama pasukan khas TUDM dan pasukan sahabat ATM. Selain daripada itu, latihan ini juga menguji keberkesanan peralatan yang sedia ada dan terkini bagi menambahbaik serta mengemaskini prosedur sedia ada.
Latihan yang dilaksanakan bermula pada 19 hingga 28 Feb 23 ini turut menguji dan memastikan aset pertahanan udara milik TUDM terutamanya pesawat angkut dan helikopter iaitu C130H, A400M, EC725AP dan AW139 berupaya dalam melaksanakan tugas-tugas operasi sama ada di daratan atau pun di lautan. Latihan ini juga membuktikan kemampuan dan kepentingan di dalam bekerjasama bersama cabang perkhidmatan ATM iaitu TDM dan TLDM serta melibatkan elemen pasukan khas dari ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Elit 10 Briged (Para), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas TUDM (PASKAU).
Objektif latihan ini antara lainnya adalah dapat meningkatkan tahap pengoperasian utama (primary) dan tugas sekunder (secondary roles) pesawat angkut dan helikopter TUDM seperti "Air Mobility", "Special Air Ops", "Personnel Recovery dan Air Logistic Support Ops". Siri latihan ini juga memberi manfaat untuk menjalankan Role Qualification Conversion anak kapal sebagai menampung kesiagaan operasi taktikal yang sedia untuk setiap skuadron "Air Mobility" serta melaksanakan latihan penerjunan statik bagi pembangunan taktikal pesawat A400M.
AMTOP melaksanakan pelbagai bentuk latihan seperti "Air Drop", "Roll Duck", "Deck Landing Training", "Tactical Air Landing Operation" dan "Military Free Fall" yang ternyata telah menguji tahap kecekapan semua elemen yang terlibat dan seterusnya telah mencapai objektif latihan khususnya meningkatkan keupayaan dan keberkesanan anak kapal dan pasukan khas ATM di dalam melaksanakan tugas operasi atau latihan secara taktikal di samping kebolehoperasian (interoperability) dan keberkesanan penugasan bersama pasukan TDM dan TLDM.
Kejayaan latihan yang pertama kali diadakan ini adalah hasil kerjasama bersepadu yang erat, komitmen yang tinggi serta tahap profesionalisme yang telah ditunjukkan oleh ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM khususnya kesiagaan demi mempertahankan kedaulatan negara. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Latihan AMTOP yang membuka jalinan kerjasama pelbagai pihak demi matlamat yang sama untuk negara.