SENDAYAN, 29 Mac 21 - Executive Talk anjuran penuntut Kursus Pegawai Kanan Tadbir (KPKT) siri 2/21 telah berjaya dilaksanakan bertempat di Auditorium Seksyen Pembangunan Sukan, Pangkalan Udara Sendayan, hari ini.
Program yang diserikan dengan kehadiran Asisten Ketua Staf Tadbir, Brig Jen Hj Suhaimi bin Hj Sahri TUDM selaku panel jemputan utama telah memberi perkongsian yang amat bermakna selaras dengan topik yang dibincangkan iaitu "Halatuju Cawangan Tadbir - Pelaksanaan & Pencapaian dari perspektif AKS Tadbir".
Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk mendapatkan pandangan yang jelas dari pimpinan tertinggi Cawangan Tadbir terhadap ketetapan halatuju cawangan ini dalam merealisasikan pelan pembangunan keupayaan TUDM iaitu CAP55.
Turut hadir ke majlis ini adalah Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kol Hj Ahmad bin Yusof TUDM; Pegawai Memerintah Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Lt Kol Hamdan bin Ahmad TUDM, Pegawai-pegawai jurulatih INSTAR serta penuntut-penuntut KPKT siri 2/21.