PUTRAJAYA, 16 Sep 2020 – Bersempena dengan Hari Malaysia dan Hari Angkatan Tentera Malaysia, Tred Kawal dan Lapor (K&L) telah mengadakan program berbasikal bermula dari Dataran Masjid Putra. Pada tarikh keramat ini juga, Tred K&L turut melancarkan penubuhan Tim Berbasikal Pertahanan Udara yang diilhamkan oleh Tred Master K&L iaitu Brig Jen Dato' Mohd Shaifuddin TUDM dengan objektif untuk menggalakkan aktiviti berbasikal di kalangan warga Pertahanan Udara, mengeratkan hubungan silaturahim di antara satu sama lain serta mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Taklimat ringkas berkaitan laluan dan aspek keselamatan sewaktu menunggang basikal turut diberi penekanan sebelum program dimulakan.
Seramai 20 orang warga K&L terdiri daripada gabungan MTU dan MPOU serta Unit Pertahanan Udara di bawah naungan Wilayah Udara 1 dan Wilayah Udara 2 telah mengambil bahagian dalam program yang julung kalinya diadakan di Putrajaya ini. Mereka turut berbasikal melalui kawasan-kawasan menarik seperti Istana Kehakiman Malaysia, Jambatan Seri Gemilang, Taman Seri Empangan dan Putrajaya International Convention Centre (PICC) sebelum berakhir di Dataran Masjid Putra. Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga dan juga pesara K&L. Program sebegini dirancang akan diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan warga TUDM yang seimbang dari aspek rohani, mental dan jasmani.