SHAH ALAM, 10 Ogos 24 β Jenazah Allahyarhamah Kpl U (W) Siti Hajar binti Abd Halim yang meninggal dunia pada awal pagi tadi di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban disebabkan kemalangan jalan raya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam.
Allahyarhamah merupakan antara anggota wanita TUDM yang akan mengikuti Misi Malbatt 850-12 di Lubnan pada tahun ini. Ketika kejadian, Allahyarhamah dalam perjalanan pulang bercuti hujung minggu dari MALLBAT Village, Port Dickson ke kediamannya di Pangkalan Udara Subang.
Terdahulu, jenazah Allahyarhamah telah dibawa ke Masjid Al Muhajirin, PU Subang bagi pengurusan jenazah dan disolatkan. Turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Kpl U (W) Siti Hajar adalah Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Datoβ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM yang turut sama menunaikan solat jenazah dan menyampaikan sumbangan derma serta khairat kematian kepada suami Allahyarhamah, Kpl U Mohamad Azrul bin Omar.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam diiringi oleh ahli keluarga, Panglima Operasi Udara, Lt Jen Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM bersama isteri, Datin Dr Halina binti Haron dan warga TUDM. Urusan pengebumian telah diuruskan oleh Markas Pemerintahan Operasi Udara dan Pangkalan Udara Subang dengan disempurnakan secara tradisi ketenteraan.
Panglima Operasi Udara turut menyempurnakan penyerahan Bendera TUDM kepada suami Allahyarhamah sebagai menzahirkan penghormatan dan penghargaan di atas jasa Allahyarhamah berkhidmat untuk TUDM khususnya dan negara amnya.
Panglima Tentera Udara dan seluruh warga TUDM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarhamah Kpl U (W) Siti Hajar binti Abd Halim. Didoakan semoga ahli keluarga Allahyarhamah cekal dan tabah menghadapi ujian pemergian insan tersayang. Didoakan juga semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama hambaNYA yang beriman. Aamiin.