KUALA LUMPUR, 7 Mac 2024 β Bertempat di Markas Tentera Udara, Wisma Pertahanan, telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Cek Tuntutan Kematian Skim Takaful Berkelompok Angkatan Tentera Malaysia (STBATM) dan Majlis Penganugerahan Pangkat Secara Posthumous kepada waris-waris pegawai dan anggota lain-lain pangkat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Majlis ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datoβ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM.
Penganugerahan Pangkat Secara Posthumous telah diberikan kepada dua Pegawai dan seorang anggota lain-lain pangkat TUDM iaitu Allahyarham Mejar Mohamad Izham bin Ibrahim TUDM yang dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel TUDM, Allahyarham Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy TUDM yang dinaikkan ke pangkat Mejar TUDM dan Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib bin Bidin yang dinaikkan ke pangkat Sarjan Udara.
Penganugerahan pangkat telah disampaikan kepada waris-waris iaitu Puan Norshakila binti Mohamad Ghazali (balu kepada Allahyarham Mejar Mohamad Izham bin Ibrahim TUDM), Puan Nurul Izzati binti Shaari (balu kepada Allahyarham Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy TUDM), dan Puan Nur Faziera binti Izam (balu kepada Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib bin Bidin). Sebelum itu, dalam majlis berkenaan juga, turut berlangsung penyerahan Cek STBATM kepada balu Allahyarham Mejar Mohamad Izham bin Ibrahim TUDM.
Untuk rekod, Allahyarham Mejar Mohamad Izham bin Ibrahim TUDM terlibat di dalam kemalangan jalanraya di Jalan Kampung Melayu, Subang ketika dalam perjalanan pulang dari tempat bertugas ke kediamannya. Sepanjang 23 tahun perkhidmatan di dalam TUDM, beliau pernah berkhidmat sebagai juruterbang pesawat helikopter Nuri di beberapa buah skuadron penerbangan selain dari jurulatih penerbangan di Institut Penerbangan 2 Kolej Tentera Udara dan Timbalan Ketua Tim Projek Perolehan Helikopter Pelbagai Guna di Markas Tentera Udara.
Sementara Allahyarham Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy TUDM adalah merupakan juruterbang dari No 6 Skuadron yang terkorban dalam insiden kemalangan pesawat Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth. Manakala Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib bin Bidin terkorban dalam insiden kemalangan ketika Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar di lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Penganugerahan pangkat secara posthumous ini adalah merupakan satu tanda penghargaan TUDM kepada para pegawai dan anggota TUDM yang telah meninggal dunia ketika bertugas di atas kecemerlangan serta sumbangan bakti sepanjang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TUDM. Penghargaan seumpama ini juga menzahirkan keprihatinan serta tanggungjawab organisasi dan pucuk pimpinan TUDM secara berterusan terhadap kebajikan warganya termasuk waris-waris pegawai serta anggotanya yang telah meninggal dunia.
Turut hadir di menyaksikan majlis adalah Asisten Ketua Staf Operasi dan Strategi, Mejar Jeneral Datoβ Hj Saharuddin bin Mansor TUDM; Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan Mejar Jeneral Datoβ Muhammad Tarminzi bin Hj Mustapha TUDM; Asisten Ketua Staf Kejuruteraan, Mejar Jeneral Hishammuddin bin Abdul Rahman TUDM; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Brigedier Jeneral Nazaruddin bin Haron TUDM; Asisten Ketua Staf Tadbir, Brigedier Jeneral Junairi bin Baharom TUDM; Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad, Encik Mohamad Khairul Anuar bin Mohamed; Pegawai-pegawai Kanan dan pegawai TUDM, serta ahli keluarga Allahyarham.