KUALA LUMPUR, 18 November 2024 β Perbarisan Pegawai Memerintah Markas Tentera Udara (MTU), Kolonel Abdul Aziz bin Abdul Rahman TUDM, buat julung kalinya telah diadakan di Wisma Pertahanan.
Perbarisan pagi ini melibatkan lima (5) pegawai dan 109 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Mejar Mohd Aizuddin bin Mohd Rosli TUDM. Ajutan Perbarisan ialah Kapten Mohd Rudaini bin Hamzah TUDM, manakala Pegawai Waran Perbarisan ialah PW U II Mohd Abdul Latif bin Mohd Shaari.
Dalam ucapan Pegawai Memerintah MTU, beliau mengingatkan semua pegawai dan anggota supaya sentiasa menumpukan perhatian kepada enam (6) tonggak utama seperti yang digariskan dalam Ucapan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara (PTU) sebagai panduan dalam melaksanakan tugas.
Beliau turut menekankan kepentingan menjaga imej sebagai anggota tentera, yang merangkumi persepsi dan tanggapan masyarakat terhadap sikap, nilai, dan imej yang ditonjolkan. Aspek ini termasuklah memastikan Body Mass Index (BMI) berada dalam julat yang ideal.
Selain itu, beliau menegaskan agar semua pegawai dan anggota LLP menjauhi dan tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah, penggunaan racun terkawal, serta kegiatan judi dalam talian, yang boleh memberi kesan negatif kepada diri dan organisasi.
Di akhir ucapannya, beliau menyeru semua pegawai dan anggota LLP di bawah naungan MTU untuk memberikan komitmen kerja yang terbaik. Beliau turut berharap agar semua pihak dapat bekerjasama dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.