KUALA LUMPUR, 14 Ogos 24 - Bahagian Sumber Manusia, Cawangan Pengurusan Sumber Manusia telah menganjurkan Bengkel Refresher Penggunaan HRMIS ATM Siri 4/2024 di Makmal Komputer AMSS, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) selama dua (2) hari iaitu pada 14 dan 15 Ogos 24. Jumlah peserta terlibat adalah seramai 13 orang (2 pegawai dan 11 LLP) dari MAWILUD 2, PU Labuan, PU Kuching, Skn 323 TUDM dan Skn 330 TUDM.
Objektif bengkel ini fokus kepada pemantapan pengendalian HRMIS ATM, meningkatkan kefahaman dalam pengurusan data dan mengenal pasti cabaran penggunaan HRMIS ATM di setiap peringkat Markas/Pangkalan/Unit TUDM. Seiring dengan keperluan yang digariskan di dalam CAP55-Fasa 1, sistem pengurusan sumber manusia bersepadu (HRMIS ATM) digunakan untuk pengurusan sumber manusia secara holistik, berobjektif dan telus.
Peserta juga dimaklumkan bahawa sistem HRMIS ATM sedia ada kini sedang dalam proses senggaraan aplikasi (penaiktarafan teknologi) kepada HRMIS ATM versi 1.1 yang melalui pembangunan platform pengurusan dan perkongsian data yang mengadaptasi teknologi terkini.
Skop pengajaran adalah berkaitan modul-modul penting yang difokuskan di dalam HRMIS ATM iaitu Pengurusan Rekod Peribadi, Pengurusan Prestasi (SKT/LNPT) dan Permohonan Pertukaran. Seterusnya, difokuskan juga dalam Modul Penilaian Kompetensi, Pembangunan, Perkhidmatan Maklumat dan Pengurusan Perubatan. Peserta bengkel juga diberikan soalan tugasan berdasarkan modul yang telah diajar untuk dibuat pembentangan secara berkumpulan.
Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan Sumber Manusia Kol Noorisma Eza bin Mat Isa TUDM. Beliau telah menegaskan agar setiap kemasukan data di dalam platform HRMIS perlu sentiasa dikemas kini dan berdasarkan pemeriksaan melalui kaedah live review HRMIS ATM, masih banyak lagi butiran peribadi yang gagal dikemaskini oleh pasukan. Keutamaan bagi menentukan data maklumat peribadi, keluarga, BMI, DKT, dan gambar yang terkini akan diminimumkan melalui pelaksanaan kemas kini maklumat dari semasa ke semasa oleh pihak pasukan. Para peserta bengkel juga diingatkan mengambil tindakan yang lebih agresif bagi memastikan data maklumat peribadi sentiasa dikemas kini bagi keperluan pengurusan sumber manusia dan menyampaikan ilmu yang dipelajari berkaitan HRMIS ATM kepada Kerani Tadbir lain melalui platform pembelajaran Kelas TCI di pasukan masing-masing.
Bengkel yang dilaksanakan selama dua (2) hari ini telah mencapai objektif untuk pegawai dan anggota LLP menjadi lebih kompeten demi memastikan data Sumber Manusia TUDM yang tepat bagi kegunaan pembangunan kerjaya.