SUBANG, 13 Ogos 24- Pegawai Eksekutif Pangkalan Udara Subang, Kol Ungku Suzaini bin Ungku Ahmad TUDM telah merasmikan Minggu Keselamatan dan Anti Dadah Pangkalan pada tahun ini dengan bertemakan βAccident and Incident are not Coincidentβ. Program ceramah keselamatan yang sentiasa diadakan dari semasa ke semasa adalah satu usaha bagi memberi kesedaran kepada semua anggota pangkalan.
Pelbagai aktiviti telah berjaya dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kesedaran serta menyampaikan maklumat terkini berkaitan dengan aspek keselamatan kepada semua warga Pangkalan Udara Subang. Selain itu, ceramah keselamatan domestik juga turut disampaikan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan dalam kalangan warga pangkalan. Dengan komitmen dan kesedaran tinggi terhadap nilai-nilai serta budaya keselamatan, Pangkalan Udara Subang bertekad dalam terus mencapai prestasi cemerlang dari aspek keselamatan domestik dan penerbangan, menjadikan ia sebagai contoh terbaik serta mencapai standard keselamatan yang tertinggi.
Minggu keselamatan telah diisi juga dengan ceramah kesedaran anti dadah yang mana menjadi musuh utama kepada negara kita. Ianya bertujuan bagi memberikan pengetahuan mengenai bahaya dan risiko penyalahgunaan dadah, termasuk kesan negatifnya terhadap kesihatan fizikal dan mental. Semua anggota adalah perlu diingatkan, bahawa pihak angkatan tentera sendiri memandang serius segala hal berkaitan penyalahgunaan dadah termasuk juga air ketum dan tiada peluang kedua didalam perkhidmatan sekiranya disabitkan bersalah.
Antara aktiviti yang telah diselaraskan adalah ceramah dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Cawangan Klang Selangor, Institut Perubatan Penerbangan (IPP), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM dan juga Markas Tentera Udara (MTU) Undang-undang.
Pada 16 Ogos 24, Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Yusri bin Jamari TUDM turut merasmikan Safety Fun Run 5km melibatkan semua warga pangkalan dan BAKAT pangkalan. Aktiviti ini adalah salah satu platform yang efektif sebagai mesej keselamatan sambil mempromosikan gaya hidup aktif dan sihat melalui aktiviti fizikal yang menyeronokkan dan bermanfaat. Di akhir sekali, Komander Pangkalan Udara Subang telah menyempurnakan penyampaian Sijil Khidmat Terpuji (SKT), penyampaian hadiah bagi Pertandingan Menulis Artikel Keselamatan, Pertandingan Poster Keselamatan, Pertandingan Poster Digital Keselamatan, Pertandingan Poster Digital Anti dadah dan Pertandingan Board Anti Dadah. Semoga dengan penganugerahan dan pengiktirafan yang diberikan dapat menaikkan semangat pegawai dan anggota yang lain agar lebih peka terhadap aspek keselamatan semasa berada di tempat kerja dan kediaman demi kesejahteraan sejagat.