SENDAYAN, 6 Jun 24 β Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara (MPPLU) telah melaksanakan Perbarisan Ketua Staf buat pertama kali bertempat di Padang Kawad Markas yang dihadiri semua peringkat Pegawai dan Anggota lain-lain pangkat serta Kakitangan Awam yang berkhidmat di MPPLU.
Perbarisan ini diketuai oleh Mej Noor Fazdli bin Ahmad TUDM dari Bahagian Latihan, Ajutan Perbarisan, Kapt Mohamad Sukri bin Abdullah TUDM dari Bahagian Bantuan dan PW U I Norazhar bin Uyop selaku Pegawai Waran Perbarisan.
Ketua Staf MPPLU, Brig Jen Datoβ Tong Veng Leong TUDM dalam ucapannya menyarankan semua staf MPPLU untuk meneruskan komitmen yang tinggi dan menerapkan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugasan agar segala perancangan Markas dapat dicapai dengan cemerlang. Beliau juga mengingatkan seluruh warga Markas ini untuk melaksanakan tugas dengan penuh keikhlasan serta memupuk semangat kerjasama yang harmoni antara staf di dalam Markas, mahupun di dalam TUDM khususnya dan ATM amnya.
Di samping itu beliau turut menegaskan semua peringkat pegawai dan anggota supaya memainkan peranan mewujudkan sikap kebolehpercayaan dan juga memegang teguh pada ikrar kesatria. Akhir kata, beliau menyeru semua warga Markas mengamalkan work life balance dan budaya hidup sihat.