![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
KUALA LUMPUR, 19 Januari 2021 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ihsan membawa dua (2) bayi lelaki yang mengalami masalah jantung dari Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan Udara Subang untuk menjalani prosedur pembedahan jantung dengan kadar segera di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Kedua-dua bayi lelaki tersebut Mohammad Zayan Hafeez bin Abdullah berusia tiga bulan tiga minggu mengalami masalah jantung ‘Mixed Total Anomalous Pulmonary Vanous Drainage (Unobstructed)’, manakala bagi Muhammad Zul Aris bin Muhammad Zainulariffin berusia satu bulan menghadapi masalah ‘Clinical Down Syndrome’ sebelum ini menerima rawatan daripada Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu Sabah.
Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. Pesawat telah diterbangkan oleh Leftenan Kolonel Nazlan Shah bin Zainal TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Noor Mohamad Farhan bin Mohamad Noor TUDM bersama dua (2) orang ‘Loadmaster’, FSjn U Norfadley bin Saad serta Sjn U Nazmil Hafis bin Mohamad Nayan bersama dua (2) orang ‘Technician’, Kpl U Mohd Yazid bin Sapeei dan Kpl U Muhammad Haziq bin Shaharuzaman.
Turut mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah ibu bayi berkenaan berserta seorang pegawai perubatan dan dua (2) orang jururawat. Pesawat berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 7.04 petang dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 9.41 malam.
Penerbangan ihsan ini dilaksanakan oleh TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan segera tertakluk kepada kriteria-kriteria tertentu terutama nasihat daripada pegawai perubatan. Ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial serta sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan.
Seluruh warga TUDM mendoakan supaya kedua-dua bayi berkenaan dapat menerima rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan. Semoga usaha yang dilaksanakan oleh TUDM dengan kerjasama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan dan membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga bayi berkenaan.