TUDM LAKSANAKAN BANTUAN PENGHANTARAN BEKALAN MAKANAN MENERUSI PROGRAM KEMBARA PRIHATIN NEGARA (KPN) DIBAWAH KPWKM SEBERAT 7 TAN KE SABAH

1 2 3
4 5 6

 

SUBANG, 22 Disember 2020 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada pagi tadi telah melaksanakan satu penerbangan membawa bekalan makanan seberat 7 tan terdiri daripada beras, tepung, gula dan minyak menerusi Program Kembara Prihatin Negara (KPN) dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ke Sabah. Bekalan makanan ini untuk diagihkan kepada rakyat di negeri itu yang terjejas akibat COVID-19.

Dalam misi ini, TUDM telah mengaturgerak sebuah pesawat angkut jenis C130H dari No 20 Skn, Pangkalan Udara Subang. Pesawat telah diterbangkan oleh Mej Izwanshah TUDM dan dibantu oleh Kapt Faiz TUDM selaku Pembantu Juruterbang. Anak kapal lain yang terlibat adalah Jurutera Penerbangan, Mej Khairi TUDM; Jurumalim, Kapt Sazmil TUDM dan Kuartermaster Udara, FSjn Rizal, Sjn U Zamzuri serta Sjn U Artiney.

Terdahulu, YB Datuk Seri Rina binti Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah hadir ke Pangkalan Udara Subang bagi menyempurnakan majlis simbolik penyerahan sumbangan oleh Syarikat Korporat kepada beliau serta menyaksikan kotak-kotak bekalan makanan dimasukkan ke dalam badan pesawat.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Komander Pangkalan Udara Subang, Brig Jen Omar bin Hj Dawami TUDM, Pengurusan Tertinggi KPWKM dan syarikat korporat yang menyumbang.