TERIMA KASIH KUMPULAN MALBATT 850-9

DSC 4757 DSC 4767 DSC 4776

 

KUALA LUMPUR, 23 Dis 2022 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menerima kunjungan hormat daripada Kol Megat Maz Ardi bin Hj Nohuddin. Kunjungan ini merupakan kunjungan bersempena tamat penugasan beliau sebagai Komander Malaysian Battalion 850-9 (MALBATT 850-9). Turut mengiringi beliau ialah Lt Kol Kamisah binti Salimin TUDM yang membuat tugas sebagai PS 1 Tadbir bagi MALBATT 850-9.

Panglima Tentera Udara turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Kol Megat Maz Ardi bin Hj Nohuddin yang menerajui MALBATT 850-9 selama setahun di bumi Lubnan. Untuk rekod, MALBATT 850-9 keseluruhannya berjumlah 854 anggota terdiri daripada 83 pegawai dan 771 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan. Kumpulan ini meneruskan misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL dan ditempatkan di dua (2) penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin dalam melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan. Pergerakan balik kumpulan terakhir pada 18 Nov 22 dan Majlis Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) MALBATT 850-9 selesai disempurnakan pada 5 Dis 22.

Keistimewaan MALBATT 850-9 adalah menampilkan jumlah anggota wanita paling ramai sejak ATM terlibat dalam misi UNIFIL iaitu 11 pegawai termasuk sorang pegawai awam dari Kementerian Pertahanan dan 75 anggota LLP. Malah, kesemua anggota wanita melaksanakan misi secara berterusan selama setahun berbanding 6 bulan secara penggiliran sebelum ini. Perubahan ini selari dengan keperluan semasa UNIFIL yang memerlukan lebih ramai penglibatan anggota wanita bagi melaksanakan tugas berkaitan masyarakat melibatkan wanita-wanita tempatan sekaligus membuktikan keupayaan dan kredibiliti anggota wanita ATM. MALBATT 850-9 juga merekodkan sejarah kepada TUDM apabila Lt Kol Kamisah binti Salimin TUDM merupakan Pegawai Wanita ATM pertama yang membuat tugas sebagai PS 1 Tadbir MALBATT dalam hal urus tadbir bagi semua anggota MALBATT 850-9.

Lebih membanggakan apabila Kolonel Megat Maz Ardi bin Nohuddin selaku Komander MALBATT 850-9 telah dikurniakan Pingat pengiktirafan daripada negara Itali iaitu “Croce Commemorativa Per La Partecipazione Alle Operazioni Di Pace” “yang disampaikan sendiri oleh Komander Sektor Barat UNIFIL. Beliau merupakan Komander pertama dari MALBATT yang mendapat pengiktirafan tersebut.

Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kumpulan MALBATT 850-9 yang telah mengharumkan nama Tentera Udara Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia khususnya serta nama Kementerian Pertahanan dan Malaysia amnya. Terima kasih MALBATT 850-9.

#MALBATT850-9
#WargaUdara