Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dua Juruiring dan dua Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Seri Paduka Baginda di Istana Negara.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM turut hadir menyempurnakan pemakaian pangkat bersama-sama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada Brigedier Jeneral Dato’ Mohamed Zahari bin Dato’ Haji Yahya TUDM, Juruiring Tentera Udara yang dinaikkan pangkat ke Mejar Jeneral TUDM.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda juga berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Laksamana Pertama Dato’ Haji Shahrom bin Haji Shaim, Juruiring Tentera Laut yang dinaikkan pangkat ke Laksamana Muda. Selain itu, Seri Paduka Baginda juga berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat Brigedier Jeneral kepada dua Pegawai Tugas-Tugas Khas, Mohamed Najmi Mohd Sharawi dan Wan Mohd Faizal Shahrin Wan Mohamad Fablillah. Mereka berdua sebelum ini berpangkat Kolonel dan masing-masing berkhidmat dengan Seri Paduka Baginda sejak tahun 2010 dan 2021.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin.