MELAKA – Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menyempurnakan penutup Seminar Kejuruteraan TUDM 2023 yang dianjurkan oleh MTU-Kejuruteraan bertempat di Kaizen Hotel & Suites, Melaka.
Seminar tiga hari yang dipengerusikan oleh AKS Kejuruteraan, Mej Jen Hishammuddin bin Abdul Rahman TUDM ini telah berlangsung bermula 9 sehingga 11 Okt 23 dan dihadiri seramai 75 Pegawai Kejuruteraan TUDM dari seluruh Malaysia. Penganjuran seminar ini juga menjadi medium perbincangan kertas kerja dan taklimat di samping membahas isu-isu, penghasilan idea, tindakan (resolusi) susulan bagi memacu Bahagian Kejuruteraan agar seiring dengan transformasi TUDM ke arah Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau RMAF Capability Development Plan 2055 (CAP 55).
Dalam ucapan penutup, Panglima Tentera Udara berharap agar setiap pegawai kejuruteraan meningkatkan kualiti kepimpinan dengan mengaplikasikan lima nilai teras (core values) TUDM di dalam pelaksanaan tugas yang diberikan.
Tambah beliau, selari dengan Perintah Ulung beliau, Bahagian Kejuruteraan perlu memperkasakan keupayaan TUDM dan pengoptimuman sumber manusia dengan mendalami ilmu pengetahuan bagi mencapai kepakaran dan skill yang dikehendaki sebagai Subject Matter Expert (SME) selaras dengan perkembangan teknologi untuk menyelenggara aset-aset baharu kelak.
Seminar Kejuruteraan merupakan salah satu aktiviti tahunan Bahagian Kejuruteraan yang diadakan untuk memberi ruang dan peluang kepada pegawai – pegawai kejuruteraan membincangkan isu-isu yang melibatkan polisi, senggaraan, sumber manusia serta lain-lain cabaran dan kekangan yang dihadapi.